Jumaat, Januari 29, 2010

Jadilah seperti benih!


Suatu ketika dulu saya pernah diminta secara halus agar meletakkan jawatan atas sebab-sebab yang tidak munasabah. Kesannya, saya berpendapat bahawa bidang penyuntingan dan dunia buku bukanlah jiwa saya. Sebaliknya, ia adalah malapetaka yang besar dalam hidup saya.  Pertama kali didesak secara berlapik untuk melepaskan jawatan sebagai editor, saya biarkan sahaja desakan itu terbang bersama hububan jiwa majikan yang tidak stabil itu. Tetapi, apabila terlalu kerap desakan demi desakan yang saya terima akhirnya saya menerima saranan teman-teman agar memulakan pemburuan ke syarikat penerbitan baru. Saya pernah menghadiri temu duga sebagai pensyarah kolej, Guru SABK, Pegawai Hal Ehwal Islam (SPA) dan Pegawai Kerani Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer,  malah saya pernah ditawarkan editor sambilan di PTS Islamika. Namun, disebabkan kegagalan saya menghadiri sesi  latihan yang dianjurkan (baca: masalah teknikal yang datangnya dari kedua belah pihak), saya akur dengan ‘senyapnya’ PTS Islamika.
Saya berhijrah ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer. Dengan cara bekerja yang sama (workaholic ). Saya sibukkan diri dengan lambakan tugasan dan menghindari kerja bertangguh. Saya pelajari pengurusan pejabat walaupun ia terlalu asing buat saya. Bekerja di sini tiada waktu yang dikhususkan untuk berehat. Sehingga saya terlupa istilah ‘lunch hour’. Tempoh tiga bulan mengenalkan saya kepada pelbagai ragam manusia. Pun, saya sangat gembira kerana segala gerak kerja saya memudahkan urusan banyak pihak dan membantu masyarakat tempatan. Ia suatu kepuasan. Dalam tenang air di kuala, sesekali berkocak juga. Menyedari musafir ilmu saya ke Kuala Lumpur berbekalkan kepercayaan penuh dari keluarga,  dengan mengekalkan status ‘anak dara’  tidak mengecualikan saya dari sergahan fitnah.
Di saat perancangan kerja telah diatur bagi tiga bulan pertama dan kemelut pelbagai isu (peribadi), saya disapa panggilan bagi mengisi jawatan Editor Novel di Syarikat Kumpulan Karangkraf. Seingat saya ketika menghadiri temu duga tersebut saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, saya menghadiri sesi itu sekadar mencurahkan ‘cinta’ saya terhadap sastera, tugas sebagai penyunting dan atas permintaan syarikat berkenaan untuk mengadakan sesi yang memakan masa hampir empat jam. Saya menyedari letak duduk kemahiran dan penguasaan saya dalam dunia sastera. Hanya dua karya saya yang tersiar di media dan pengalaman terdahulu sebagai editor cuma 11 bulan. Pucuk dicita, ulam mendatang, bagaikan bulan jatuh ke riba. Saya dihubungi melalui telefon dan menerima ucapan tahniah kerana ditawarkan jawatan sebagai Editor Novel di BUKU PRIMA, Kumpulan Karangkraf. Tuhan mendengar doa saya dan menyaksikan kepayahan saya selama ini. Tetapi ada suatu perkara yang meresahkan…
Saya sudah 'jatuh cinta' pada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer. Sebelum ini saya diminta keluar dari premis tempat saya bekerja. Tetapi di sini, mereka menahan saya dari pergi…setelah berbincang bersama teman terpercaya dan beristikharah, saya nekad mengejar cita-cita saya. Ya, cita-cita saya adalah jihad saya. Sasterawan Tentera >Islamikkan karya/sastera liberal, picisan dan berunsur erotis dengan mengangkat wacana dan gagasan untuk memandaikan umat dan bangsa< Ia bukan kerja main-main. Saya seorang yang selektif. Saya tidak membaca/makan sembarangan buku/menu. Adik-adik saya juga HANYA dihidangkan bahan bacaan yang menjana akal sihat, genius, bermaruah dan meninggikan budi. Saya bertegas dalam soal itu. Jawatan ini seolahnya memberi isyarat beratnya taklif yang wajib dipikul. Kepada ma dan abah yang selalu-selalu cuba memahami dan menyokong penuh hasrat saya, adik-adik yang tidak lokek menghulur perangsang dan membantu, Abang Nazmi (wartawan Berita Harian) terima kasih menyarankan saya berkhidmat di Karangkraf, akhi Mizi yang merasakan keberadaan saya di BUKU PRIMA akan mengembangkan potensi dan bakat saya, Amiza Khusyri yang mahukan saya tekal membawa mauduk perjuangan walau di platform mana saya berpijak. Athirah yang mahukan saya membina karier dan potensi diri dan mengekalkan gerak kerja dakwah. Terima kasih saya ucapkan. Pandangan kalian sangat bermakna dan memberi pencerahan. Ya! Jadilah seperti benih!
 Kredit gambar:mediakreatifPhotography

4 ulasan:

Unknown berkata...

Namun begitu biar pun benih yang mahu ditabur masih ramai yang gemar menjadi lalang.

Diana berkata...

Assalammualaikum dan salam perkenalan...K.Diana dari Shah Alam, kenalan adik Fitri Nurul Ain Nordin...

Pertama-tamanya syabas dan tahniah atas 'takdir' yang Allah susun sehingga Allah memilih Faizah sebagai tenteranya di Buku Prima.

Kedua, insyaAllah selepas ini bolehlah K.Diana berguru dan mohon tunjuk ajar dari Faizah mengenai dunia penulisan khusus dari kaca mata dan sentuhan pena graduan azhar dan ahli gerakan islam tentunya...

Ketiga, seperti Faizah K.Diana juga ada cita-cita yang sangat besar dalam dunia media dan penulisan...cuma sekarang mencari idea dan inspirasi dari orang lain yang serupa matlamat dan halatujunya... Sekadar berkongsi, K.Diana pun baru sahaja kembali ke track...untuk beramal dengan ilmu yang dipelajari sepanjang di UiTM sebagai wartawan.

insyaAllah nanti kita ketemu ya, selamat datang ke Shah Alam. Boleh menyumbang kepada Nisa...(ni terpengaruh dengan filem Ketika Cinta Bertasbih...bahasa indonesia sangat indah, nilai sastera tinggi dan juga kaya dengan perbendaharaan kata yang halus...)

Faizah Azaman berkata...

Thanaif-lalang itu,hati perutnya lompang dan kosong...tiada roh.

Faizah Azaman berkata...

Diana-Alaikumsalam dan salam taaruf. Ya, Fitri sangat ma'ruf dikalangan kami.

Allahyubarik fik, Diana (saya yakini kita sebaya atau Diana lebih muda daripada saya. Kita saling menambahkan ilmu dan pengalaman. Saya tidak layak mengajar Diana yang pastinya sudah lama benar berselut dilapangan dakwah. Saya sepatutnya meminta agar diberi tunjuk ajar dan bantuan sebagai musafir mar'ah tanpa ditemani mahram.

Saya juga teruja bersua dan bertaut salam dengan Diana. Moga diberikan ruang dan peluang bertemu nanti! Terima kasih jenguk saya di sini.

Salam taaruf!