Jumaat, Jun 26, 2009

Rindu Yang Berbisik

Tepung Bungkus; Kuih yang paling saya teringin sekali ketika di perantauan. Lemak dan manis! Akhirnya, saya temui seorang teman yang pandai membuat tepung pelita sebagai ganti Tepung Bungkus yang mustahil untuk saya bikin tanpa bahan lengkap dan daun pisangnya. Kami membuat Tepung Pelita dengan menggunakan beras yang direndam dan dikisar halus. Yang peliknya, juadah ini kami sering sediakan sepanjang musim peperiksaan. Semangat menyediakan juadah tradisi tersebut meluap-luap. Hinggakan ada yang membawa kitab dan nota peperiksaan ke dapur. Aduhai musim itu...saya ingin kembali ke daerah asing tetapi akrab dengan jiwa dan semangat saya.

Gambar; Universiti Iskandariah

Saya merindui seseorang di Alexandria University. Dengarnya disapa chicken pox. Beberapa kiriman esemes tidak berbalas. Sudah sembuh atau kambuh? Mungkin sering memikirkan keadaannya membuatkan saya termimpi-mimpi. Malam tadi saya bermimpi dia pulang ke tanahair. Terujanya saya menantikan saat-saat kami sekeluarga berkumpul. Moga-moga Ramadan dan Syawal mengeratkan ikatan kami, tambahan pula kami menantikan kelahiran keluarga baru.

Aduhai, kota Iskandariah yang menyamankan. Teringat angin pantai yang selalu-selalu berpuput liar menjelang musim dingin.

Kubu Qaitbey yang sempat saya kunjungi dua kali. Lubang-lubang kecil itu menempatkan pasukan memanah.

Oh, ini koktel kegemaran saya. Lapisan strawberry (faraulah), jambu dan mangga. Beberapa hirisan pisang, strawberry dan epal merah di dadu memecah selera untuk menikmatinya. Koktel paling enak yang paling saya ingat adalah di kiosk buah berhadapan stesen bas berhampiran Husin.

Saya merindui Mesir dan daerah ilmu di pinggir pantai Mediterranean. Kota yang dikenali sebagai kota yang tercantik di Mesir dengan udaranya yang lebih dingin berbanding kota-kota lain.Iskandariah adalah kota pertembungan budaya di antara Mesir kuno dan Rom. Dikhabarkan kehadiran Alexander The Great telah mencicang dinasti Firaun. Teringat sepanjang perjalanan dari Assofirah Beach ke Mahattah Raml akan disapa arca kepala Alexander The Great yang terdapat di selekoh berhampiran Jambatan Stanley yang dibawahnya adalah hempasan ombak di dada pantai Mediterranean.

Rabu, Jun 10, 2009

Who am I?

'26 Februari- Sukar memahami segala sesuatu, umumnya sukses dalam segala bidang usaha yang digemari dan panjang usianya.

Pisces,

Pisceans memiliki bakat alami yang lembut dan sabar. Mereka memiliki banyak kualiti kebaikan dan friendly, baik, sensitif terhadap perasaan di sekelilingnya dan merespon dengan sangat simpatik. Biasanya mereka popular dikalangannya kerana mudah bergaul. Mereka menerima orang di sekelilingnya dan juga keadaan berbanding mencuba beradaptasi dan mereka sabar untuk menunggu masalah selesai berbanding mencuba menyelesaikan masalah. Mereka biasanya lebih peduli masalah orang lain berbanding masalah dirinya sendiri.

Mereka terkadang lebih menggunakan emosi berbanding rasional. Mereka sudah dikenal sebagai sangat kreatif. Mereka tidak menyukai disiplin. Hidup jam 9 sampai 5 adalah bukan untuk mereka.

Pisceans cenderung menarik dirinya dalam dunia mimpi dimana mereka dapat merasakan kepuasan. Mereka memiliki intuisi tinggi, cepat mengerti, memerhatikan dan pendengar yang baik bahkan boleh menerima idea dan horizon baru. Semua faktor ini dapat dikombinasikan untuk menghasilkan karya sastera, muzik atau seni yang kreatif.
Mereka tidak pernah memerhatikan diri sendiri dalam hubungan peribadinya dan memberi lebih daripada apa yang temannya minta. Mereka biasanya setia dan home-loving.'

Saya selalu hilang arah menentukan hala hidup saya. Mungkin pendirian saya lekas berubah mengikut tuntutan semasa. Pun, matlamat masih yang sama. Saya hanya meletakan sangkaan yang baik setiap kali membulat keputusan. Sering juga langkah saya tersampuk dan tersadung. Saya gagahkan juga. Tiada tongkat yang dihulur, kalau adapun akar yang menjalar. Kadang-kala saya ditakutkan akar-akar yang seiras 'ular' atau sesekali ia membelit langkah sehingga menyukarkan kembara hidup saya. Saya inginkan sokongan, bukan kongkongan. Saya perlukan dokongan bukan omongan kosong dan janji-janji bohong.