Sabtu, Mac 18, 2006

Bertukar Tampuk Kepimpinan dan Citra Penulisan

10 Mac 2006

Zainab Harun bertamu ke rumah. Sekian lama tak bersembang sastera dan penulisan dengannya. Butir matanya bercahaya bak kunang-kunang sekebun tatkala berbicara santai isu sastera seputar Mesir dan Tanah Air. Nyata dia teruja! Sesekali konsentrasi kami digegar keletah nakal anak saudara saya, Ahmed dan Muhammad. Saya pesan pada Zainab usah serik berkunjung lagi, rumah saya sentiasa terbuka menerima kedatangannya. Sebelum pulang Zainab menghulurkan sepucuk marsum dari 'ex-housemate' saya, kak Atariah yang kini menetap di Johor Bahru. Hampir dua tahun kami terputus khabaran. Saya nekad membalas marsum itu. Saya sudah lama melupakan segala sengketa dan kepahitan silam. Yang berpilin di jihat atma dan kotak fikir hanyalah zaman-zaman kemanisan ketika awal remaja yang dicipta bersama teman-teman. Itu lebih indah dan memada sebagai penawar sekian lara. Saya tetap mengingati ANDA yang pernah menabur 'BAIK' kepada saya.

12 Mac 2006

Saya berada di Kaherah untuk menghadiri jemputan Muktamar Sanawi PMRAM ke-73 dan HEWI PMRAM ke-19 pada 13 dan 14 safar 1427H bersamaan 13 dan 14 Mac 2006M. Jam satu petang saya mendapat sms dari kak Mawaddah ad-hoc Sidang minta saya mempengerusikan majlis perasmian Muktamar HEWI ke-19 di Dewan Abdullah Kamil, Kulliah Perubatan, Universiti al-Azhar as-Syariff. Saya tak membuang masa berfikir panjang, terus saja menerima tanpa banyak soal. Sungguh, ini peluang yang tidak wajar disia-siakan. Keupayaan saya perlu diuji. Kekurangan saya mesti ditampal tindih melalui percubaan praktikal. Lantaran saya sedari bahawa saya tidak ada kemahiran fasih berpidato dan petah bertutur. Sekurangnya saya boleh maju menimba pengalaman. Sengaja saya meninggalkan teks upacara perasmian yang mewah kekurangan sebagai kenang-kenangan dan garis pandu dimasa depan.

(Teks ini disediakan sekitar jam 1.00pagi-2.30pagi, 13 Mac 2006)

-Puji-pujian Kepada Allah dan Baginda Rasulullah saw(Bahasa Arab) dan ucapan salam.

Pertama dan selamanya infiniti kesyukuran dipersembahkan hanya kepada Malikul Muluk Tuhan sekalian makhluk. Kuntuman mewangi selawat dan salam teristimewa hanya untuk yang dirindui, Habibur Rahman Nabi Muhammad saw, alybayt Baginda, para sahabat dan tabien.

Yang disegani lagi disayangi, Ustazah Dayang Siti Noraini bt Awang Damit Yahya, Ahli Lembaga Penasihat PMRAM

Yang dihormati, Timbalan Presiden merangkap Pemangku Presiden PMRAM 2005 Ustaz Hairul Nizam b. Mat Husin

Yang dihormati lagi dikasihi, Naib Pengerusi HEWI PMRAM Ustazah Khaujah Rubiyah bt Ngah berserta saf kepimpinan srikandi HEWI PMRAM sesi 2005

Yang berusaha, Pengarah Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-73 dan Hewi PMRAM kali ke-19 Ustaz Muhammad b. Arshad dan Timbalannya Ustazah Sulaiha Shaari

Yang dikasihi para raisat bersama kepimpinan seluruh BKAN dan DPM, seterusnya Qari dan srikandi sidang Muktamar HEWI ke-19 yang dicintai fillah

Sang suria dipersada meriah
Tatkala camar bermainkan rebah
13 Mac tarikh bersejarah
Di sini Muktamar memulakan langkah

Srikandi idaman mujahidin,

'Awwal Quwwah, Quwwatul Wahdah'

Bertitik tolak dari itu, maka kebersamaan kita pada hari ini adalah bukti kekuatan kesatuan yang bakal meledakkan momentum melalui gerakan pelajar dan gagasan idealisme islamik yang kita dokongi.

Tuntas, Muktamar HEWI PMRAM diprogramkan saban tahun demi menggarap dan menggempur identiti dan kredibiliti mahasiswi yang layak mendepani massa.

Sebelum saya memanjangkan bicara, sebelum bicara petah berbahasa dengan ini pihak majlis mengundang al-Fadil al-Ustaz Hanif Azmir b. Hashim dari MAQAZ Shoubra untuk menyampaikan andang wahyu al-Quran al-Karim dari Surah al-Furqan ayat ke 59. Bi qiraati riwayah Azraq 'an Warsy 'an Nafi' min toriq at-tayyibah. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.

Demikianlah tadi bacaan ayat suci al-Quran al-Karim yang dialunkan oleh al-Fadil al-Ustaz Hanif Azmir siswa tahun satu dari MAQAZ Shoubra. Majlis mengucapkan jutaan terima kasih

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Ad-hoc pelaksana menjadi pasak
Peranan pengarah memberi bimbingan

Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan ucapan sekapur sirih seulas pinang dari Timbalan Pengarah 2 Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-73 dan HEWI PMRAM kali ke-19, Ustazah Sulaiha bt Shaari

Majlis mengucapkan jutaan terima kasih

Segak kacak pantang menyerah
Anggun berseri pahlawan sejati
Taati raisah derhaka usah
Kesatuan dipatri sudahlah pasti

Dengan berbesar hati majlis menjemput Naib Pengerusi HEWI PMRAM, Ustazah Khaujah Rubiyah bt Ngah menyampaikan kalam injeksi bistari. Dengan ini majlis mempersilakan.

Majlis merakamkan jutaan terima kasih kepada Naib Pengerusi HEWI PMRAM 2005 diatas ucapannya yang kejap.

Cerlang bintang disinari bulan
Ungkapan indah penyair budiman
Al-Quran dan as-Sunnah penyuluh jalan
Pimpinan khalifah jadikan ikutan

Seterusnya tibalah kita ke acara kemuncak perasmian Muktamar HEWI PMRAM kali ke-19 yang bakal disampaikan oleh Timbalan Presiden PMRAM merangkap Pemangku Presiden PMRAM al-Fadil al-Ustaz Hairul Nizam b. Mat Husin. Majlis mempersilakan

Itulah tadi kalam momentum dan perasmian yang teah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PMRAM. Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan

Seterusnya majlis menjemput, Pengarah Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-73 dan HEWI PMRAM kali ke-19 menyampaikan tanda kenag-kenangan kepada Timbalan Presiden selaku perasmi. Majlis mengucapkan sejuta penghargaan.

Untuk akhirnya ditawaqufkan majlis ini dengan bacaan tasbih kafarah dan Surah al-Asr.

Majlis mempersilakan Pemangku Presiden dan tetamu kehormat diiringi Pengarah ke medan kudapan.

Sekian, terima kasih.

Saya serahkan kembali majlis kepada Pengerusi Umum.

(Teks ini diformatkan semula kerana memenuhi permintaan sahabat)

Syabas kepad PMRAM sesi 2006 yang membawa gagasan tema GEMBLENG KEKUATAN PASAK KEILMUAN. Moga virus parokial yang menerobos kotak minda mahasiswa berjaya ditepis dengan gagasan yang diuar-uarkan. Juga kalungan tahniah teristimewa buat kepimpinan HEWI PMRAM 2005 dan 2006 dengan garapan tema MEMPERKASA KEIZZAHAN MAHASISWI. Bersama kembalikan 'gah' muslimah tanpa mengabaikan 'biah solehah' yang disemai sejak panca dasawarsa. Bersama buktikan muslimah mampu berswadaya dan bersaing menongkah arus massa! Allah bersama kalian!

ENTITI PENA

"Nun. Demi pena dan apa yang ditulis olehnya. Engkau (wahai Muhammad) dengan kurnianan Tuhanmu bukanlah orang yang tidak waras."
[Surah al-Qalam ayat 1-2]

Rasulullah saw bersabda;

"Iman seseorang tidak akan betul sehinggalah hatinya betul [lurus]. Hatinya tidak akan betul [lurus] sehinggalah lidahnya lurus.
[Hadis riwayat Ahmad]

Ayat dan hadis tersebut menegaskan kepentingan pena dan kata-kata. Keduanya seolah-oleh menegaskan bahawa manusia mesti belajar, mengembangkan pemikiran, membangunkan kesedaran dan menyalurkan ilmu pengetahuan kepada generasi baharu. Manusia akan kosong tanpa ilmu. Ilmu sifar tanpa bahasa.

PENA DALAM QURAN

Taraf pena dilihat penting dalam al-Quran seperti yang dirakamkan dalam al-Quran al-Karim.

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Mulia, yang mengajar manusia dengan pena mengajar manusia apa yang tidak tahu."
[Surah al-Alaq ayat 1-2]

"Seandainya seluruh pokok di bumi menjadi pena manakala lautan sebagai mangsi nescaya ia tidak memadai untuk mencatat ayat dan tanda kebesaran Allah."
[Surah Luqman ayat 27]

Terdapat juga hadis yang menyebut tentang pena. Sabda Rasulullah saw;
"Pena (pencatat amal) tidak akan mencatat perbuatan tiga golongan manusia iaitu kanak-kanak sehingga baligh, orang yang tidur sehingga terjaga, dan orang yang tidak siuman sehingga ia kembali waras."

Kalimah 'kalam' pada perspektif Islam mampu melaksana fungsi tersebut;

1-Kalam Ilahi: Menulis ketentuan (qada dan qadar) nasib manusia di dunia dan alam ghaib.
2-Kalam insani: Menulis ilmu, sejarah, pengajaran, asas-asas hubungan dan lain-lain.
3-Kalam malaikat: Merekodkan amal manusia dan jin
4-Kalam penguasa: Menetukan kaedah, peraturan hidup yang diperincikan selaras dustur samawi yang dibawa oleh rasul yang diutus.

HALA TUJU PENULIS

Pelbagai motif yang memotivasikan sesorang itu menulis. Antaranya, menyebar maklumat, pelan tindakan, didaktik, menghibur, keuntungan material dan terkandung penawar bagi penyakit akal budi manusia alaf moden. Pesan Syamsudin al-Babibli, "Janganlah seseorang itu menulis kecuali untuk merealisasikan tujuh tujuan."

1-Menulis mengenai sesuatu perkara yang belum pernah ditulis orang
2-Menulis untuk menyempurkan sesuatu yang pincang
3-Menulis untuk menjelaskan yang samar
4-Menulis untuk merumus dan meringkaskan agar kondisinya kejap tanpa mengabaikan isi-isi penting
5-Menulis untuk menampilkan sesuatu yang tidak teratur agar keadaannya dalam turutan dan bersistem
6-Menulis untuk menbetulkan kesilapan penulis terdahulu.
7-Menulis untuk mencantumkan faktor-faktor yang punya kesinambungan agar keadaanya dalam kronologi yang berentetan

KARISMATIK PENULIS MUSLIM

Penulis wajar melengkapkan diri dengan aset penting yang diekstrak dalam ajaran Islam. Penulis muslim hendaklah berpandukan kepada beberapa seperti ilmu komunikasi, kewartawanan, penulis yang mempunyai kekutan bahasa, teknik penyiaran berita dan lain-lain.

Selain dari itu penulis hendaklah memahami beberapa silibus khusus dan sesuai mengenai;

1-Al-Quran, tafsir dan ulum al-Quran
2-Hadis dan Mustolah Hadis
3-Muqarran Adyan [Perbandingan agama]
4-Isme-isme dan idealogi terkini seperti sekularisme, zionisme, komunisme, existensialisme, pragmatisme, materialisme, darwinisme dan lain-lain.
5-Manhaj dan teknik dakwah
6-Sirah Rasulullah
7-Pengetahuan asas Bahasa Arab
8-Tasawwur dan aqidah Islam
9-Syariat Islam dan hukum-hukum Feqh seputar kehidupan seharian
10-Akhlak Islam

Mandala penulisan merupakan wadah interaksi antara penulis dan khalayak pembaca. Angkatan penulis ini sedayanya menyalur kembali apa yang terkandung dalam sel-sel memori, perasaan dan idea untuk dilahirkan agar bisa menyentuh khalayak dengan tujuan memberitahu, mendidik, memujuk dan menghibur. Penulis sewajarnya memiliki sifat-sifat yang termaktub di dalam al-Quran al-Karim;

1-Sifat ikhlas [Rujuk Surah al-Baiyyinah: 5, as-Saaffaat: 38-40, al-Hijr: 39-40]
2-Jujur [Rujuk Surah at-Taubah: 119, Muhammad: 21]
3-Sabar [Rujuk Surah al-Imran: 200, al-Anfal: 46]
4-Peka dan bawa isu-isu semasa agar tidak leka membicarakan isu lapuk dan ketinggalan zaman
5-Bersungguh-sungguh menyebarkan warisan Islam dalam setiap persoalan atau isu sehingga ia bisa menjadi trend berfikir masyarakat madani
6-Ketajaman minda. Mampu merungkai persoalan siapa, apa, dimana, mengapa dan bagaimana disamping menelurkan watak dan perwatakan.
7-Ketenangan minda dan rasional.
8-Retorik. Mahir membina pelbagai struktur ayat dan sentiasa bermain dengan rencam diksi dan khazanah perbendaharaan kata
9-Bersifat kritis. Bijak menilai karya yang baik dan lemah. Mampu membuat penyuntingan karya sendiri.

ADA APA DENGAN CERPEN?

Bahasa
1-Struktur bahasa
2-Perbendaharaan kata
3-Perimbuhan

Aset penting melahirkan karya
1-Kesempurnaan
2-Kestabilan
3-Kelenturan
4-Tidak kejam
5-Tajuk ideal [tidak melambangkan klimaks]
6-Kurangkan bahasa asing
7-Kesantunan bahasa:-kesesuaian-penghormatan-papar kasih sayang-hindari perkara negatif
8-Karya kejap
9-Ayat ringkas dan jelas
10-Ekonomis
11-Diskripsi yang tidak berjela-jela
12-Ada kelajuan
13-Pelihara bahasa
14-Harmonis
15-Kreativiti
16-Ada kemahiran dan ilmu bantu
17-Bahasa gramatis
18-Jangan hina pembaca
19-Tatabahasa dan gaya bahasa
20-Tanda baca:-noktah-penutup dan pembuka kata-simbol-onomatopia[peniruan bunyi alam sekitar]

ELEMEN UTAMA CERPEN
Tanpa Wang Lelaki Perempuan Gelabah Selalu

T-Tema
W-Watak
L-Latar:-masa, tempat, cara hidup dan umum
P-Plot atau alur cerita
G-Gaya bahasa
S-Sudut pandang

A)TEMA

Persoalan dan tema yang cuba diangkat oleh penulis. Seperti, cinta, ketuhanan, idealisme menyongsang, masyarakat, isu antarabangsa, semenanjung Arab yang bergolak dan lain-lain.

B)WATAK DAN PERWATAKAN

Watak adalah penggerak dalam plot. Watak yang memainkan latar dan watak membawa tema dan pemikiran penulis. Kebiasaannya penulis lelaki gemar melukiskan watak wanita seorang yang jelita, menarik dan khali dari cacat cela, berbanding penulis wanita selesa menggambarkan watak seorang wanita yang matang, bijak, intelek dan reasional dalam bertindak dan bertutur.

Watak dan perwatakan boleh dikembangkan melalui:
-Melalui tindak tanduk
-Melalui dialog dan pertuturan watak
-Melalui gambaran dan fikiran
-Melalui lukisan fizikal

C)LATAR

-Latar masa
-Latar tempat
-Cara hidup watak
-Latar umum, contoh; kebudayaan, kepercayaan agama, pemikiran, sosial dan emosi.

D)SUDUT PANDANG

Sudut pandang pengarang punya ikatan yang kukuh dengan watak kerana sudut pandang bertindak meletakkan posisi watak.

-Sudut pandang ganti diri pertama, kedua dan ketiga
-Sudut pandang serba tahu
-Sudut pandang peninjau
-Sudut pandang objektif

E)GAYA BAHASA DAN GAYA PENCERITAAN

Gaya penceritaan menunjukkan pemilihan tema, meninjau persoalan lalu menceritakan melalui karya. Gaya ini adalah gambaran jiwa pengarang.

Gaya bahasa menunjukan lukisan gambaran jiwa pengarang merujuk bagaimana seseorang penulis mengeksploitasikan bahasa dengan bijak dan kratif dalam usaha menyampaikan pengucapan abstrak; fikiran dan perasaan.

Gaya bahasa yang sering digunapakai terdiri dari empat unsur yang berkait;
-Diksi
-Sintaksis
-Langgam penceritaan
-Tempo

F)PLOT ATAU ALUR CERITA

Tiada ulasan: