Rabu, Julai 23, 2014

Ramadan Terbaik Sepanjang Hidup



Kasih Sayang-Nya menyentap segenap rasa dan jiwa.

Dalam kesibukan berulang-alik dari Seremban ke Putrajaya dan menguruskan rumahtangga setelah bergelar ibu, terasa kehadiran Ramadan kali ini kurang terisi berbanding ketika zaman bujang. Saya aktif berusrah, tadarus beramai-ramai, membaca beberapa genre bahan akademik dan kreatif bahkan saya sempat menulis cerpen di dalam bulan tersebut selain menunaikan solat sunat tarawih dan mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali. Namun segalanya telah beransur meninggalkan saya. Komitmen sebagai anak, ibu dan isteri berkarier menuntut saya bangun seawal jam 3.00 pagi. Apatah lagi saya menyusukan Nawwal secara eksklusif, dinihari adalah saat paling produktif memerah susu badan. Hidup saya bermula dengan urusan anak dan rumahtangga. Bertadarus hanya di pejabat selain urusan kerja, seminar dan mesyuarat yang tidak pernah surut.

Sehingga suatu malam ketika menyusukan Nawwal dan suami pula ke surau menunaikan solat tarawih saya bercakap kepada diri sendiri, “Apa pengisian eksklusif saya untuk Ramadan kali ini?” Saya mula mencongak-congak dan bermuhasabah amalan saya sepanjang Ramadan yang telah memasuki takah kedua. “Ahhh, saya penat. Saya tak mampu nak berqiam.” Di dalam kepala saya berligar dan berkira-kira masa yang berbaki saya isikan dengan tidur lantaran kepenatan di siang hari dan sebelah malam saya akan tidur jam 11.30 malam atau kebiasaannya 12.00 malam. Saya hanya tidur kurang empat jam sehari. Saya penat, tubuh saya terasa lenguh, kepala saya selalu pusing dan saya sangat lesu menyesuaikan jadual baru dan kehidupan baru saya. Saya hanya mampu memohon agar Allah memberikan pinjaman kekuatan.

Tanggal 10 Julai, saya diarahkan menghadirkan diri ke perhimpunan bulan dan perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya mengenakan kurung batik sutera yang ditempah ketika bertugas di jabatan terdahulu. Dalam renyai hujan saya dan semua pegawai menuju ke auditorium Kompleks D. Sepanjang program tersebut saya ketiduran. Ya, saya sangat penat tetapi masih sempat berdoa agar kepenatan ini tidak menghalang kualiti kerjaya saya di daerah baru dan asing bagi diri saya. Oh, saya tertinggal dompet di dalam bilik. Saya terfikir sejenak, “Tak mengapa, wang yang ada pun tak sampai RM10. Biarlah.” Sekembali dari Kompleks D, saya melakukan kerja yang tertangguh sebelah paginya kerana merancang waktu rehat nanti saya perlu berkejar ke JPN untuk membuat MyKid Nawwal Zara. Ketika membuat MyKid Nawwal, saya memuji-muji system JPN yang pantas memproses permohonan MyKid yang selesai dalam tempoh 15 minit. Justeru, saya tidak perlu terkejar-kejar pulang ke pejabat sebelum jam beranjak ke angka 2.00 petang. Ketika menyisipkan MyKid Nawwal, masih terdapat ruang untuk kad baru diisi di dalam dompet saya. Serasa saya sebelum ini ruangan kad penuh kerana saya rajin mendaftar kad keahlian di kedai-kedai bayi dan kedai buku. Saya teruja dan berkata kepada teman yang mengekor, “Sedang elok ada satu kosong, boleh letak MyKid Nawwal.” Saya terlupa, itu tempat sisipan kad kredit saya. Saya pulang dan lalui hari-hari meletihkan seperti biasa tanpa menyedari bahawa kad kredit saya telah dicuri. 

Saya ambil cuti sehari sebelum cuti Nuzul al-Quran untuk mengikut suami pulang ke kampung halamannya. Kebetulan, Ramadan kali ini kami agak sibuk menguruskan rumah baru dan bercadang untuk berpindah selepas lebaran. Kami belum sempat berpuasa bersama keluarga di sebelah saya dan sebelah suami. Ketika dalam perjalanan pulang ke Seremban, suami mengajak saya menyinggah di sebuah hypermarket di Senawang, berbetulan saya berhajat membeli beberapa helai pyjamas untuk Nawwal di Butik Anakku. Nawwal bakal menginjak usia 5 bulan dan pakaiannya 0-6 bulan sudah mula singkat. Ketika mahu membuat pembayaran menggunakan kad kredit saya menyedari kad tersebut tiada di tempatnya. Saya terfikir, mungkin suami saya belum memulangkannya setelah menggunakannya untuk mengisi minyak kereta saya beberapa minggu lepas. Suami saya terkejut apabila saya bertanyakan kad kredit yang telah dipulangkannya selepas mengisikan minyak kereta. “Nanti kita cari di rumah, jika tiada terus sekat kad.” Suami saya berujar dan serius sekali. Saya diterpa cemas. Hati saya berlari kencang. Setelah puas mencari dan saya kepenatan, segera saya menghubungi Hotline Bank. Alangkah terkejutnya saya sejak 10 Julai sehingga 14 Julai sebanyak sembilan transaksi dibuat dan jumlahnya kurang RM50.00 mencecah ke angka 3K! Saya yang duduk di atas sofa ketika membuat panggilan tanpa sedar entah bila saya sudah terjelepuk di atas lantai. Terasa tubuh saya luluh lantak diganyang kejutan demi kejutan. Saya menangis. Siapa yang tegar mengkhianati saya di bulan Ramadan? Suami saya di sisi cuba menenangkan. Malam itu saya tidak dapat tidur, sambil menyusukan Nawwal fikiran saya terus menerawang. Siapakah pencuri itu? Mengapa dia mencuri? Kenapa saya yang menjadi mangsa? Adakah si pencuri dari teman rapat saya? Ketika saya menangis dalam gelap, suami tersedar. “Tidurlah, umi. Esok nak sahur dan kerja. Nanti tak cukup rehat.”

Saya menggenggam tangannya dan menangis sungguh-sungguh hingga terlena. Seperti biasa jam 3.00 pagi saya sudah bangkit, dan keluar dari rumah kira-kira jam 6.00 pagi. Berkerja seperti biasa. Saya kuatkan hati memburu si pencuri berbekalkan maklumat dari pihak bank berdasarkan lokasi-lokasi transaksi berlaku. Juga beberapa panduan daripada jiran saya, pesara polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di IPD Seremban. Saya berjaya memujuk beberapa kedai yang dihubungi melalui telefon agar membenarkan saya mengenal pasti si pencuri melalui cctv setelah memajukan salinan laporan polis dan mendapatkan salinan resit pembelian melalui kad kredit saya sebagai bahan bukti. Semua lokasi dan maklumat kontak transaksi berlaku saya jejaki melalui capaian internet. Saya meninggalkan kerja pejabat dan membuat penyiasatan secara solo sehari suntuk. Esok, saya akan melihat cctv untuk pengecaman. Hati saya terasa mahu pecah. Sesal atas kecuaian, mengenang ‘hutang’ hantu yang menjadi tanggungjawab saya membayarnya. Oh…

Pagi Jumaat yang limun tidak saya endahkan. Saya membulat tekad dalam setiap langkah. Hari ini, setelah pengecaman yang dibuat semalam melalui cctv…saya kuatkan hati menangkap si pencuri itu. Dari hari Rabu laporan polis dibuat, pegawai penyiasat langsung tidak hadir untuk mengambil sebarang keterangan atau bukti-bukti yang bakal saya kemukakan. Sehingga sahabat yang banyak membantu saya sepanjang 3 hari menyiasat berujar, “Patutlah orang benci polis.” Saya diam dan mengangkat bahu. Tiada jawapan yang sesuai saat ini. Saya pernah berkerja dengan polis dan saya masak dengan sikap dan layanan mereka terhadap orang awam. Pagi itu, setelah memaklumkan segala maklumat penyiasatan kepada ketua jabatan, saya didatangi seorang sahabat yang memberi beberapa solusi bagi membuat tangkapan. Ya, si pencuri itu adalah ‘cleaner’ di pejabat saya. Saya hubungi Balai Polis, Precint 7 memaklumkan subjek/suspek ada di pejabat berdasarkan laporan yang telah saya buat. Tanpa berlengah, kereta peronda sampai 15 minit kemudian. Si pencuri dikenalpasti dan kad kredit milik saya yang telah disekat turut dipulangkan. Nah, kalau disabitkan kesalahan kes ini di bawah jenayah dan kanun keseksaan. Saya tersentap seketika…

Sepanjang tiga hari menyiasat, saya yang menyifatkan diri sendiri laih, penat, longlai, tersera-sera kelesuan masih bisa meruangkan waktu barang sebentar untuk bermunajat saat diduga. Siapa kata orang sibuk tak mampu berqiam? Allah menegur dan memanggil saya kembali akrab dengan-Nya melalui insiden ini. Justeru, hikmah telah saya kutip dengan syukur dan tangis. Sejak hari pertama kejadian itu berlaku saya tidak putus-putus mengucap syukur di atas duga yang menyentap rasa dan wibawa. Mohon dibekalkan kesabaran menempuhnya dan beroleh penyelesaian yang terbaik. Dia menjawabnya dengan pantas, sesuai dengan permintaan dan kepantasan saya menyedari kerenggangan dengan-Nya. Rakan-rakan adalah wira saya. Mereka banyak membantu saya mengumpul maklumat dan membawa saya ke lokasi siasatan untuk membuat pengecaman melalui cctv. Suami saya yang setia dan tidak putus-putus membuat solat hajat agar dimudahkan proses siasatan solo saya. Saya hargai dan saya syukuri nikmat diuji di bulan yang terbaik. Ya, ini adalah Ramadan terbaik sepanjang hidup yang telah saya lalui. Ramadan kareem!