Barangkali saya bukanlah ketua yang baik lantaran saya hanya seorang perempuan tradisionalis yang kadang-kadang berfikir secara konvensional. Tetapi saya melihat sikap ketua lelaki yang lebih gemar menjadi 'bos' pujaan dan popular berbanding menjadi seorang bos yang saksama mengagih tugas dan tanggungjawab. Benar, saya baru berkhidmat sebagai pegawai awam, tetapi saya mempunyai pengalaman lima tahun bekerja dalam sektor swasta dan awam. Saya bukan 'jahil' dan 'kosong' dalam aspek pengurusan dan perkhidmatan. Di manapun saya berkhidmat, secara prinsip masih terarah dan bergantung kepada arahan ketua.
Saya memilih menjadi seorang ketua yang adil berbanding menjadi ketua popular hanya kerana kebaikan ketua yang memberi kerja kepada pekerja yang rajin dan pandai membuat kerja. Saya, tetap dengan pendirian saya untuk mengagihkan kerja kepada orang yang dipertanggungjawabkan dan memang berkapasiti untuk melaksanakan tugas tersebut walaupun dia tidak kompeten. Pegawai awam harus ada inisiatif memajukan karier dan kemahiran untuk 'menyarung jersi' kompeten. Tiada alasan pandai atau tidak, mahir atau tidak. Jika anda memohon sesuatu jawatan, anda pasti bersedia untuk melaksanakan tugas hakiki anda, bukan hanya goyang kaki ke pejabat kemudian melabel orang lain tiada kerja.
Saya, cintakan karier saya! Kerana amanah ini akan dipersoal di akhirat nanti. Mahu jadi popular atau saksama?