Rabu, Disember 29, 2010

Halalan Toyyiban; Konsep Penyediaan Makanan yang Diabaikan

Memetik surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud; Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.

Halal adalah satu kata nama bahasa Arab di mana kata kerjanya ialah halla, yahillu, hillan yang membawa erti membebaskan, melepaskan, memecahkan, membubarkan dan membolehkan. Apabila ia digunakan di dalam bidang perundangan Islami ia membawa maksud;  pertamanya segala sesuatu yang menyebabkan seseorang itu tidak dihukum jika menggunakannya dan keduanya sesuatu yang boleh dikerjakan menurut syarak.

Al-Jurjani dalam Kitab al-Ta’rifat menjelaskan bahawa pengertian halal dengan maksud pertama merujuk kepada keharusan menggunakan benda-benda atau apa-apa  yang diperlukan untuk memenuhi keperluan jasmani seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan. Manakala pengertian halal dengan maksud yang kedua adalah bersangkut paut dengan keharusan memanfaatkan, memakan, meminum dan mengerjakan sesuatu yang kesemuanya ditentukan berdasarkan nas.

Di dalam al-Quran, Allah s.w.t menggunakan istilah halal dalam pelbagai keadaan ayat. Antara penggunaan tersebut ada yang menyentuh sudut muamalat, hal kekeluargaan dan perkahwinan, makanan dan rezeki dan seumpamanya.

Apa yang lebih menarik tentang konsep makanan dan rezeki  halal yang disebut di dalam al-Quran ialah kata sifat “toyyib” yang mengekorinya. Toyyib (atau toyyibahtoyyibatatau tuuba sebagai jamak) dari segi makna ialah sesuatu yang baik atau elok atau yang berlawanan dengan yang buruk. Jadi apabila disebut 'halalan toyyiban' ia memberi maksud sesuatu yang halal yang bersifat baik atau elok.

Secara mudah, arahan Allah s.w.t supaya kita makan bukan terhenti setakat memakan makanan yang halal semata-mata, bahkan ia melangkaui ke satu tahap yang lebih daripada itu. Justeru kita disuruh memakan makanan yang halal yang bersifat elok atau tinggi mutunya. Begitu juga dengan sumber rezeki yang kita usahakan bagi mendapatkan makanan halal. Ia sepatutnya terhasil daripada usaha yang halal lagi berkualiti. Penekanan terhadap unsur mutu usaha ini penting kerana rezeki yang diperolehi tadi tentunya lebih baik dan lebih diberkati oleh Allah s.w.t. berbanding rezeki yang dijana daripada kerja atau usaha yang bersifat ala kadar. Tambahan pula kita akan menggunakan rezeki tadi untuk memenuhi keperluan harian diri dan keluarga. 


Keadaan ini juga terpakai untuk konsep 'Halal' dan 'Halalan Toyyiban' di mana ia juga merupakan satu konsep yang perlu dipatuhi oleh umat Islam secara menyeluruh. Dari pandangan hidup agama Islam, konsep ini boleh mendatangkan pelbagai kesan positif untuk semua aspek kehidupan manusia. Ini tidak terkecuali sektor ekonomi di mana kesan yang paling ketara dapat dilihat menerusi perkembangan pesat dalam industri makanan halal di serata dunia.

Tuntutan supaya rezeki yang diperolehi itu adalah rezeki yang halal ialah untuk memastikan keberkatan diperolehi dalam kehidupan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab setiap orang dan masyarakat Muslim untuk memastikan tuntutan ini dipenuhi. Proses penyediaan makanan dan minuman halal yang bermula daripada penyediaan bahan mentah hinggalah ia terhidang di atas meja sepatutnya dilakukan oleh orang Islam itu sendiri.

Tanggungjawab ini tidak sepatutnya diletak dibahu penganut agama lain kerana mereka sudah tentu tidak mampu memahami kepentingan konsep halalan toyyiban secara sempurna. Jika mereka memahaminya sekalipun, dorongan mereka hanyalah kerana daya keuntungan yang bersifat keduniaan yang ada pada konsep tersebut yang diraih menerusi saiz pasaran dan permintaan daripada pengguna  Islam di seluruh dunia.
Fakta inilah juga yang menjelaskan kenapa pengeluar-pengeluar bukan Muslim di negara kita menguasai sebahagian besar pasaran makanan halal negara. Ini adalah suatu paradoks kerana mengikut unjuran Unit Perancang Ekonomi, jumlah penduduk Malaysia pada 2008 (termasuk bukan warganegara) berjumlah 27.9 juta orang dengan 13.66 juta adalah penduduk Melayu. Apa yang pelik ialah hanya lebih kurang 15% sahaja pasaran makanan halal dikuasai oleh pengusaha Muslim.
Justeru, penguasaan pasaran produk makanan halal yang dipelopori oleh golongan bukan Islam telah melenyapkan konsep 'toyyiba'. Konsep toyyiba bukan terhenti sekadar bahan makanan yang bermutu, tetapi etika penyediaan dan cara memasak memainkan peranan penting bagi mencapai konsep toyyiba. Sebagai contoh, makanan atau bahan tersebut hendaklah dibersihkan dengan air mutlak dan diiringi selawat atau basmalah, bagi pekerja wanita yang didatangi haid hendaklah mengenakan sarung tangan ketika menyediakan makanan tersebut kecuali jika menyediakan makanan untuk keluarganya. Sudah tentu, etika toyyiba tidak akan dikuatkuasakan oleh pengusaha yang tidak beragama Islam. 


Proses penyediaan makanan 'halalan toyyiban' juga mempengaruhi penikmat hidangan tersebut, lantaran makanan akan diurai menjadi darah dan daging. Sedarkah kita, mengapa sikap dan peri laku anak-anak sekarang sukar dikawal dan membimbangkan. Kebejatan moral juga dipengaruhi oleh jenis makanan yang diambil. Lantaran itu, etika 'toyyiban' perlu diaplikasikan dalam penyedian makanan harian. Apa lagi ketika memasak dibacakan zikir-zikir dan mendoakan agar makanan tersebut memberi zat dan kebaikan kepada tubuh untuk beribadah kepada Allah, menghadiri majlis ilmu dan bekerja mencari rezeki yang halal. 

Jumaat, Disember 24, 2010

Pesona Seorang Guru


Saya tertanya-tanya perasaan dan pemikiran pelajar lelaki yang menginjak usia remaja. Kalau ditanya pelajar perempuan, pernah jatuh hati dengan guru muda di sekolah, pasti ramai yang akan mengangkat tangan atau saja segan-segan mengeyakan. Ramai pula guru lelaki menikahi anak murid mereka atau istilah basahnya, 'sangkut'. Ia adalah bukti kukuh bagi menjawab persoalan hati dan perasaan ini. Cuma, saya tertanya-tanya bagaimana keanehan perasaan pelajar lelaki yang jatuh hati kepada guru perempuan mereka (yang pasti lebih tua)??? 

Seorang guru perempuan pernah menerima esemes misteri, hadiah, kad ucapan, surat dan salinan kad pengenalan pelajarnya sebagai 'tanda ingatan'. Malah, apabila guru ini masuk ke kelas, pelajar itu mula berbicara dengan mata. Ia amat aneh dan pelik. Jangan hairan jika setiap aktiviti guru diintai pelajar ini, pendek kata; Ke mana guru itu pergi, pasti pelajar itu berjaya menjejak. Apa tindakan wajar jika perasaan pelajar lelaki ini diluahkan tanpa segan-silu, secara spontan atau gurauan? Pesona seorang guru...

Selasa, Disember 14, 2010

Saya, diri saya...



Seseorang menyebutkan kepada saya, "Menulis tentang diri sendiri di blog adalah orang yang mengalami krisis dalaman." Saya abaikan baris-baris kata itu. Ia bersifat provokasi. Saya menggunakan blog sebagai ruang berbagi rasa dan medan memperbaiki penulisan. Titik.