Isnin, Januari 19, 2009

Tuhan, Jangan Tinggalkan Aku...


Berdayung kolek sampai ke kuala,
Pendayungnya satu tiada siaga,
Kusayang hamba lupa tak rela,
Kusayang Tuhan beroleh segala.




1430H, saya ingin lalui jalur kehidupan siangnya yang dihiasi pelangi dan mentari yang malu-malu sembunyi di balik mega. Dan menginginkan malam berteman purnama cerlang gemilang dengan taburan bintang yang tersemat di dada langit. Hidup, alangkah! Saya ingin menjadi bidadari yang suci dari noda dan karat dunia. Saya ingin hidup selamanya dalam rangkulan hangat al-Wadud. Tuhan, jangan tinggalkan saya sendiri...





Tahun baru bermula dengan langkah yang agam. Pakatan Rakyat tekal mengungguli persada pemerintahan yang menjunjung al-Quran dan al-Hadis. Saya menerima ucapan tahniah dari abah dan Puteri Sulung di atas kemenangan calon PAS di Parlimen Kuala Terengganu dalam PRK pada 17 Januari lepas. Serasa saya pula yang jadi wakil rakyat. Terima kasih untuk ucapan tahniah dan doa kalian bagi kemenangan Islam. Saya enggan bersama-sama golongan yang suka bertenggek di atas pagar. Bukan sahaja melambangkan sifar pendirian malah tidak memahami bahawa inti Islam itu syumul. Tidak kira label apa yang saya sematkan di dada. Sama ada sebagai seorang pengarang, editor, pelajar dan rakyat. Seni tidak menghalang fikrah saya di semai benih islami, disiram wahyu Ilahi dan mengucup kelopak sunah nabawi.



Khamis, Januari 08, 2009

Ulasan Buku


Kisah Cinta Dalam Al-Quran; Mengenal Cinta Meraih Allah sebuah karya al-Fadhil al-Ustaz Misbah Em Majidy yang mendapat sentuhan ampuh daripada Yang Berbahagia, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Buku ini menyingkap hakikat makna CINTA paling dalam, bukan cinta kelas pertengahan atau bawahan yang sering disogokkan demi kepentingan segelintir manusia haloba.

Kerana cinta al-Wadud kepada hamba-Nya, maka terciptalah Adam a.s. Malah syurga dipilih sebagai tapak semaian cinta antara Adam a.s dan belahan jiwanya, Hawa r.ha. Hanya penikmat cinta yang bisa merasai kemanisan dan keindahan roh cinta. Cinta tidak terbatas sesama manusia, justeru nikmat cinta tertinggi apabila ia bersatu di antara al-Khaliq dan makhluk. Betapa khalis cinta Rabi’ah kepada Kekasihnya, sehingga bibirnya basah mengalunkan rintihan hiba;

“Tuhanku, jika ibadahku hanya untuk menjauhkan diriku daripada api neraka-Mu, maka nanti bakarlah aku dengan api neraka-Mu. Jika sembah sayangku hanya untuk meraih syurga-Mu, maka haramkan syurga-Mu ke atas diriku. Adapun jika ibadahku hanya ingin beroleh kasih-sayang-Mu, berilah aku kurniaan agung-Mu. Anugerahkan kepadaku nikmat bisa melihat wajah-Mu, wahai yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia.”

Nah, inilah bukti hebatnya penangan cinta hakiki. Mari kita tinjau pula disebalik tabir kisah cinta para anbia. Kisah Musa a.s yang simpati terhadap kedua-dua anak gadis Nabi Syu’aib saat mereka dipinggirkan ketika menanti giliran menadah air di pinggiran oasis. Shafurah, sosok wanita ideal yang telah menawan hati seorang Rasul. Keluhuran budi Musa a.s dan kebajikan Shafurah terhadap bapanya telah menyatukan dua hati.

Benarkah Imra’atun Aziz atau lebih dikenali sebagai Zulaikha masih perawan saat keinginannya meraih cinta pria berhati luhur seindah Yusuf a.s? Biarkan persoalan itu terpilin-pilin. Apa yang ingin dirungkai, cinta Zulaikha telah membawa Yusuf ke penjara dan membiarkan lelaki itu merasai nikmat tarbiah dari Tuhannya. Cinta Zulaikha membawa dirinya mengenal Pencipta keindahan Yusuf a.s. Bahkan cinta Zulaikha telah memandunya mentauhidkan Yang Esa.

Kisah cinta Sulaiman dan Balqis tidak kurang hebatnya. Ratu dari kerajaan Saba’ dan rakyatnya penyembah suria, khabaran si Hud-Hud yang setia telah menyentap rasa Sulaiman yang diamanahkan sebagai rasul. Tugasnya sebagai penyeru, hidayah itu pastinya milik Allah. Balqis dan rakyatnya wajar diselamatkan akidah mereka. Melalui doa si alim, Ashif Ibn Barhiyan, mahligai si ratu diangkat dalam sekelip mata. Balqis akur dan bersuara lunak, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam.” Cinta itu adalah suatu rasa yang sangat seni. Ia bisa lahir bila-bila dan sesiapa bisa mengalaminya. Apabila wujud tautan hati, maka berbungalah bahagia. Apalagi jika cinta itu suluhan dari al-Wadud.

Di dalam al-Quran dan Sirah Nabawi bukan sekadar berkisah tentang cinta di antara lelaki dan wanita, hamba dan pencipta, bahkan cinta sesama saudara, cinta manusia kepada keduniaan, keinginan manusia menjadi Tuhan dan cinta manusia sesama makhluk lain. Apa salahnya dengan cinta? Cinta itu mulia, demikian kata Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Beliau penggemar dan penikmat novel-novel cinta. Justeru, salahkan? Tidak sama sekali, kerana cinta bisa membawa manusia mengenal Pencipta. Tidak perlu merentas laut segara, tidak usah mendaki ke puncak gunung mencari hakikat cinta. Buku ini menawarkan segalanya. Cinta...dari makna paling dalam.

Terbitan: Anbakri Publika Sdn Bhd, Kota Damansara
Harga: RM23.00 Halaman: 241
Ulasan: Faizah Herda Mohd Azaman
(Ulasan buku di atas tersiar di media SIASAH, bilangan 0129, edisi 28 Disember 2008-3 Januari 2209 dan HARAKAH bilangan 1404 edisi 8-11 Muharam 1430 bersamaan 5-8 Januari 2009. Untuk memesan dan mebaca koleksi tazkirah daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, klik pautan ini Koleksi Karya Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat