1/2/2008
Aduhai! Teruk betul saya ini. Satu entri satu bulan! Saya rindukan saat-saat idea mengalir deras sehingga tidak tertakung dek sereblum dan serebrum lalu saya muntahkannya di atas kertas putih. Apalah yang disibukkan sangat? Jika kerana tugasan yang berlambak dan tidak pernah putus saya jadikan alasan, sewajarnya alasan ini saya gunakan sejak dulu. Ketika di tahun akhir pengajian, saya disibukkan dengan pelbagai tugasan di dalam persatuan disamping pelajaran adalah prioriti. Ulang alik ke kota Fustat, jemputan program di Iskandariah, bergelut dengan kuliah dan study group bersama teman akrab sudah cukup membuatkan saya letah letai waktu itu. Namun, saya masih punya masa untuk bersunyi-sunyian mencipta watak dan perwatakan, alur cerita dan mencari falsafah baru dalam kehidupan. Ya Allah! Ke mana hilangnya hamasah saya??? Saya sangat cemburu melihat teman-teman yang prolifik. Saat ini saya masih belum disibukkan dengan penulisan disertasi. Bayangkan pertembungan gaya bahasa disertasi yang formal, mudah, ringkas dan padat dengan genre jiwa saya yang berlawanan dengan itu cukup menyiksakan batin, malah!
4/2/2008
Saya menaiki komuter ke Bandar Tasik Selatan. Dari Stesyen tersebut teman saya sudah menunggu dan kami akan ke USIM bagi mendapatkan database tajuk-tajuk disertasi yang berkaitan dengan Kajian Fatwa. Kajian Fatwa adalah subjek kegemaran saya di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Nor Naemah yang sangat mengujakan. Beliau benar-benar ingin melatih kami menjadi penyelidik. Sengaja mendedahkan kami dengan tugasan yang berkaitan dengan kajian lapangan. Saya sukakan cabaran ini. Aduhai, paling malas apabila terpaksa melayani kerenah birokrasi USIM yang agak ketat. “Tempat orang….” Keluh kami. Setelah berurusan dengan pengawal keselamatan yang meminta kartu pengenalan kami ditukarkan dengan kad pelawat, kehadiran kami terus dimaklumkan kepada pengawal keselamatan di perpustakaan utama USIM melalui walkie talkie . Wah, macam kami berdua VVIP pula. “Cik, masuk empat kali kiri sampai ke perpustakaan ya.” Begitulah arahan pengawal tersebut. Sampai di tempat parkir kami disambut pengawal keselamatan wanita yang ramah menyambut. “Dari mana?”. “UM.” Jawab kami serentak. “Boleh kami nak cari bahan di library?” Kami berdua seolahnya meminta keizinan. “Sudah tentu, bila saya punch kad staff ini cik berdua masuk dan serahkan surat dari jabatan di kaunter ya.” “Terima kasih.” Kami hadiahkan ibtisam paling manis buat layanan yang hangat itu.
“Saya dari UM. Kami berdua nak dapatkan database tajuk-tajuk disertasi master di sini yang berkaitan dengan Fatwa atau Kajian Fatwa.” Saya memula bicara. “Oh, boleh. Saya nak panggil cik atau puan?” “Cik.” Jawab saya ringkas. “Begini cik, kami ada enjin pencari semua tesis, disertasi dan paper projek pelajar di USIM. Mari saya tunjukkan. Jangan risau, library ini kecil, koleksi buku-buku pun sedikit. Kalau tak jumpa guna enjin pencari kita guna manual.” Pustakawan di situ ramah dan memudahkan. “Boleh kami masuk ke tempat menyimpan disertasi? Sebab di UM membaca disertasi adalah bebas Cuma dilarang bawa keluar atau fotokopi.” Saya mohon penjelasan agar hajat kami tidak disalaherti. “Maaf, di sini hanya staf yang dibenarkan masuk ke bilik menyimpan disertasi. Pelajar tidak dibenarkan.” Kami akur. Saya dan teman jenuh mencari tajuk menggunakan enjin pencari disertasi. Tiba-tiba pustakawan tadi menghampiri kami. “Mari masuk. Kita cari ikut manual pula.” Sambil jarinya membuka tombol pintu tempat menyimpan disertasi. “Boleh ke?” Terbit gusar di celah nubari saya. “Kita buat-buat boleh je…” Jawab pustakawan itu selamba. ‘Ah, ini peluang. Kerja kami pasti menjadi lebih mudah dan cepat.’ Hati saya riang. “Ini sahaja koleksi tesis, disertasi dan paper projek yang kami ada.” Sambil menunjukkan tiga rak buku besi yang tersusun kira-kira kurang daripada 50 jilid. “Ini saja?” Tanya teman saya mohon kepastian. “Ya, sebelah sana paper projek undergrad, sebelah sini disertasi postgrad.” Tak sampai 15 minit kami berjaya dapatkan semua koleksi disertasi yang berkaitan dengan Fatwa dan Kajian Fatwa. Hanya tiga sahaja disertasi yang ada. Kami mengucapkan terima kasih kepada pustakawan yang baik budi dan memahami kondisi kami yang datang dari jauh.
Ah, sekarang kami perlu ambil isi-isi penting yang terdapat di dalam disertasi tersebut. Biar inilah kunjungan pertama dan terkahir lagi bermanfaat. Kalau tajuknya banyak, makan masa membina pengkalan data. Alang-alang sudah selesai tugasan pertama kami terus sudahkan tugasan kedua, merumus disertasi tersebut. Jam sudah 1.30 petang. Kami berdua berasa tenaga perlu dicaj. Alahai…di mana kafe? Teman saya bertanya kepada salah seorang pengguna perpustakaan tersebut lokasi kafe terhampir. Adik itu menghela tangan teman saya ke tingkap sambil menunding ke arah banggunan di bawah bukit. “ Di sana kak, bumbung yang berwarna pink.” “Oh, dekat saja. Jom, kita ke kafe dulu.” Pelawa teman tadi. Ketika keretanya menuruni bukitan meluncur perlahan-lahan ke arah kiri sambil matanya mencari banggunan berbumbung pink. “Saya rasa di sini semua bumbungnya berwarna pink.” Saya membuat konklusi. Gelak kami pecah berderai di dalam kereta Honda Accord miliknya. Jenuh juga kami pusing-pusing sekitar USIM dan terjenguk-jenguk membaca signboard dengan tulisan yang agak kecil dan sukar dilihat dari jauh. Kami saling mengingatkan, ‘Jangan banyak komen, tempat orang!’ Akhirnya kami temui kafe tersebut, keluar simpang sebelah kanan setelah menuruni bukitan perpustakaan tersebut…
Kami berdua menikmati juadah tengah hari sambil berbual pelbagai topik. Dari perkara yang berkaitan dengan tugasan hinggalah soal-soal peribadi. Aduhai Syakirah, dia adalah teman tempat saya mencurah rasa. Mungkin factor umur kami yang sebaya dan dia pula tua sehari dari saya menyebabkan kami begitu ‘click’ sebagai sahabat dan teman. Untungnya saya bersahabat dengannya. Usai menikmati juadah kami kembali semula ke perpustakaan. Kami perlu menyudahkan menaip beberapa tajuk dari disertasi tersebut. Ketika asyik menaip menggunakan notebook saya merasa pening dan keletihan. Lantas saya ke kaunter, mencuba nasib mohon izin fotokopi tajuk-tajuk tertentu di dalam disertasi tersebut. “Sudah tentu. Cik berdua datang dari jauh. Saya izinkan disertasi ini difotokopi dengan syarat cik berdua meninggalkan pengenalan diri kepada saya.” Ujar pustakawan shif petang dengan lembut dan tasamuh. “Terima kasih cik, kami tinggalkan kad matrik di sini.” Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Pemberi Mudah.
Kami ditegur pekerja di kedai fotostat tersebut. “Rasanya tak pernah lagi orang fotostat disertasi di sini.” “Oh, kami dapat keizinan dari pustakawan.” Kami jujur menjelaskan duduk sebenar perkara. “ Semua disertasi Fatwa? Kenal Ustaz Yunus?” Soalnya bertubi. “Ya, kami kena buat ulasan disertasi berkaitan Fatwa. Siapa Ustaz Yunus?” Giliran kami bertanya. “Ustaz Yunus mengajar di INFAD. Mungkin dia boleh bantu kalian dapatkan bahan. Ini nombor telefon bimbitnya.” Lelaki bertaraf pak cik itu senang membantu. Syakirah mendail nombor yang diberi. Katanya dia sudah tinggalkan INFAD, jika ingin bantuan sila berjumpa Puan Aida. Katakan padanya Ustaz Yunus yang menyarankan kami bertemu Puan Aida untuk dapatkan bahan. Masya-Allah, kerja kami bertambah mudah. Rabbuna yasir wala tu’asir!
5/2/2008-10/2/2008
Saya pulang ke kampung menghabiskan baki cuti pertengahan semester. Seronok sekali-sekala berkumpul ramai-ramai, solat berjemaah bersama, mengajar anak-anak jiran mengaji muqaddam dan al-Quran bahkan saling bertanya khabar dan bertukar cerita sesama kami. Saat-saat begini yang selalu saya rindukan. Mama pula menyiapkan menu ala kampung setiap hari-kerabu jantung pisang, pulut sotong, budu dan ulam pucuk ketereh, gulai lemak labu dan ikan talang masin.(Maaf, menu kami agak bervariasi dan bercampur-campur. Maklumlah dari sisi abah Kelantan dan mama Pahang)
Saya sangat kasihankan adinda-adinda saya. Ayeim yang sedang menunggu keputusan SPM membuka kelas tusyen bagi adik-adik UPSR, Jiji yang sedang menunggu keputusan STAM menjaja makanan ringan di kelas agama petang. Ala pula menjadi penyelia KAFA sementara menyambung pengajiannya semula. Ya Allah, moga-moga adik-adik saya berjaya di dunia dan akhirat! Ameen! Saya? Saya dalam usia begini masih menjadi pelajar. Sepatutnya saya yang menjadi tulang belakang keluarga membantu meringankan beban abah dan along…sedih ketika saya ingin pulang ke kampus semalam. Ala yang baru sahaja mendapat gaji pertama menghulurkan RM50 kepada saya. Mama dan abah menghantar saya ke terminal bas Temerloh dan menunggu hingga saya mendapatkan tempat di dalam bas. Ya Rabb! Berapakah bayarannya bagi pengorbanan dan budi melangit ini?
14/2/2008
Saya sampai di stesyen komuter bandar tasik selatan sekitar jam 10.40pagi dan menanti Syakirah sekitar 5minit sebelum kami sama-sama bertolak ke UKM. Ini kali pertama kami menjejakkan kaki ke UKM, lalu lokasi Perpustakaan Tun Seri Lanang tidak kami maklumi di mana kedudukannya. Puas kami keliling UKM melalui Fakulti Pendidikan Islam dan melalui beberapa kolej-kolej kediaman, Fakulti Pendidikan dan Kejuruteraan sehinggalah kami bertemu ramai siswa dan siswi bertanyakan jalan ke PTSL. Akhirnya kami sampai juga ke PTSL yang bersebelahan dengan PUSANIKA. Teman saya terkeliru dengan nama PUSANIKA, katanya mungkin dia tersilap dengar dari seorang siswi di jalanan tadi seolah menyebut PUSATNIKAH. Aduhai, Syakirah. Ada-ada saja! Patutlah berkerut keningnya tadi.
Masuk ke PTSL kami disambut staf yang ramah meminta kami mengisi maklumat diri di dalam buku pelawat, kemudian memaklumkan kami kepada siapa harus kami majukan surat akuan dari UM dan cara untuk mendapatkan disertasi di aras 5 bahagian Koleksi Asia Tenggara. Kami ke kaunter utama. Kami diajari bagaimana mengendalikan ejen pencari dan penerangan etika pelawat PTSL. Tanpa berlengah kami mendaki tingkat 5 dan terus ke bahagian Koleksi Asia Tenggara. Kepada pustakawan bertugas kami menyatakan hasrat. Staf berkenaan bena tidak bena. Saya agak panas dengan sikap sebegini. Melayan kami seperti kami ini peminta sedekah dan pendatang haram. Ah, saya nekad meninggalkan aduan di peti aduan bahagian itu. Melampau! Rasanya kampen Budi Bahasa Budaya Kita sudah sekian lama diuar-uarkan. Mustahil kakitangan kerajaan di institute pengajian tinggi awam tidak maklum akan kempen kerajaan dari masa ke semasa??? Saya melahirkan rasa tidak puas hati kepada Syakirah. Sudahlah bermasam muka, nada suara seperti marah, memberi arahan yang tidak jelas dan sikap acuh tidak acuhnya semakin membakar saya. Saya rasa panas sekitar ruang itu. Ingin melunaskan segala tugasan sepantasnya. Mengkal hati berurusan dengan orang sebegini. Bayangkan ketika kami berurusan di kaunter dua orang pelajar asing dilayan seperti VIP. Saya sangat anti sikap bias dalam pengurusan! Orang melayu suka mendewa-dewakan orang asing. Itulah sebabnya orang melayu dan jiwa melayu mudah dijajah! Saya mengomel dalam hati.
Usai solat dan makan tengah hari di kafe PUSANIKA kami bergegas semula ke PTSL. Fikir saya tugasan mesti disiapkan secepat mungkin dan aduan wajib saya tinggalkan dalam peti aduan di pojok pintu sebelah kiri. Jam 5.56petang tugasan kami siap. Disertasi yang kami ulas dipulangkan semula kepada staf yang bertugas sebelah petang. Ah, redup jiwa saya bila tidak perlu lagi berurusan dengan orang meLAYU yang bena tak bena! Sebelum pulang saya sempat menggambari PTSL yang tersergam! Apapun kunjungan ini tetap memberi makna dan mengenalkan saya erti sabar yang berkualiti. Dateline tugasan Kajian Fatwa pada 26 Febuari 2008. Ada apa pada tarikh ini???