Saya harus pulang segera ke Pahang. Banjir yang membantai daerah kami sehingga terputus hubungan dengan bandar amat mencemaskan. Bimbang juga seandainya saya tidak berpeluang berhari raya bersama keluarga. Berita setiap hari berkisah tentang banjir di Pahang sehingga lebuh raya ditutup. Abah menelefon dari kampung, katanya jangan beli tiket bas lagi, lebuh raya di tutup. Tunggu sehingga Isnin atau Selasa nanti. Pagi Isnin saya bergegas mengambil LRT ke Masjid Jamek dan STAR ke Pekeliling. Berserah saja pada Yang Kuasa mudah-mudahan sudah ada bas untuk ke Temerloh, lagipun lebuh raya sudah dibuka untuk kenderaan berat. Jam 10.30 pagi saya sampai di Terminal Pekeliling.
Barisan manusia sudah panjang menunggu giliran tiket ke Genting. Saya mencelah di ruang sempit membeli tiket ke Temerloh. Syukur, kaunter tiket ke destinasi kampung sudah dibuka. Saya mematung diri di platform bas. Cacamerba yang saya fikirkan. Retina saya menangkap tampang lelaki yang mundar mandir dengan riak wajah yang keruh. Ah, dia mampir. “Dik, boleh tolong abang beli tiket ke Kuantan?” suaranya lirih. Saya ramah menunding jari ke kaunter tiket untuk ke Kuantan. “Ya, tau di situ. Tapi abang nak mintak adik tambah duit nak beli tiket. Tadi abang naik teksi ke sini. Duit abang dah ‘short’ bila bayar teksi.” Bicaranya ada slang Indonesia. Saya memaling wajah. Takut menerjah nubari saya. Saya bukanlah bakhil, tetapi saya sangat takut dan agak berhati-hati dengan warga asing. Setelah itu indera lihat saya menerpa ke arah seorang wanita renta yang berjubah dari kain dubai biru muda dan bertudung labuh elastic berwarna putih sedang berbaris membeli tiket di kaunter. Hati saya berkata-kata halus, ‘Kalau mak cik ini yang minta dibayarkan tiketnya saya sanggup bayar penuh.”
Mata kami bertembung. Saya tersenyum di balik tirai. Senyum berbalas. Ah, mak cik itu mampir. “Nak ke Temerloh? Soalnya hangat. “Ya, mak cik pun nak pergi Temerloh juga?” Saya girang. Berkira-kira perjalanan saya hari ini berteman. “Ya, mak cik nak cari kawan”. “Cari kawan? Lelaki ke perempuan?” Saya menyoal nakal. “Lelaki. Anak kenal Ustaz H****M b. P***N? Kenal?”. Ada nada mengharap di hujung bicara. Saya mengerut kening, nama itu seperti pernah singgah di cuping telinga. Tapi saya tidak mahu terburu menjawab kenal, tidak ingin memberi harapan kosong kepada mak cik itu. Diksi yang terbik saya pilih ialah TIDAK. Kami terdiam beberapa bentar. “Dulu kami pernah berjanji nak bernikah. Dia senior mak cik sewaktu kami di Sekolah Menengah Agama al-Khairiah. Ketika dia menyambung pengajian di Mesir, dia minta mak cik berjanji agar menunggunya hingga pulang. Kerana setia mak cik pada janji yang kami ikrarkan mak cik tolak pinangan 21 orang lelaki.” Saya telan liur. Ramainya!!! “Ketika kawan mak cik di tahun akhir pengajian, dia mengirim sepucuk surat. Katanya dia dipaksa menikahi sepupunya lantaran perbelanjan pengajiannya selama di Mesir ditanggung sepenuhnya oleh bapa saudaranya, dia pula anak yatim. Sebagai balasan menikahi sepupunya adalah cara melangsaikan hutang”. “Habis, mak cik terus membujang?” Saya larut di dalam kondisi mak cik yang merana akibat janji. “Akhirnya mak cik terkena buatan orang lantaran kerap menolak pinangan. Dan mak cik menikahi lelaki jawa yang sudah berusia. Kisah mak cik ini anak boleh tulis, boleh bikin cerita. Dah bernikah?” Aduhai…soalan yang sebolehnya saya nak elakkan. “Belum.” Jawab saya tersipu. “Dah Bertunang?” Soalnya mak cik bertubi. “Belum.” Jawab saya jujur. Dia mengangguk. Kolam matanya berkaca. Ada awan merah berarak di langit butir mata itu. “Mak cik tau rumah kawan mak cik?” Saya cuba mengalih topic. “Tak tau. Mak cik tawakal saja. Dah 50 tahun mak cik tak jumpa dia. Mak cik tak inginkan apa-apa dari dia, Cuma nak melihatnya sebelum mak cik menutup mata. Ajal maut kita tak mampu nak duga. Mak cik fikir nak balik hari, anak-anak mak cik tak tau mak cik ke Pahang. Kad pengenalan pun mak cik lupa bawa.” Saya kerisauan memikirkan ketetapan hati seorang wanita yang sanggup menempuh risiko demi kenangan silamnya. “Begini mak cik, saya turunkan mak cik di depan sekolah. Kalau mak cik gagal mencari kawan mak cik, hubungi saya ya. Saya akan cuba bantu mak cik.” Janji saya kepada wanita renta yang saya kasihi seperti nenek. Cucunya yang berusia 8-9 tahun menyimpan number telefon bimbit saya ke dalam memori telefon milik neneknya. Kasihan wanita renta ini, kerana janji dia nekad redahi Pahang yang disapa bencana banjir. Moga-moga dia selamat dan dimudahkan Tuhan.
Pulang ke rumah saya menikmati makan tengah hari bersama keluarga. Ketika enak mengecap juadah saya bertanyakan mama mengenai Ustaz H****M b. P***N. Mama menjawab selamba, “Kenal. Dia Ustaz yang mengajar ma dulu. Kacak orangnya. Macam Shashi Kapoor versi Melayu.”{maaf, saya dan mama peminat filem hindi lama. Antara pelakon yang kami sukai Shashi Kapoor dan Saira Banu} Saya diterpa kejutan. Mungkin mama boleh bantu mak cik itu. “Dia tinggal dimana?” Saya tidak sabar. “Entahlah. Dengarnya dah pindah. Dulu dia menetap di depan sekolah.” Kepada mama saya curahkan segala kisah yang saya takungi ketika di Pekeliling tadi. Mama sangat terkejut. “Ada simpan nombor mak cik itu?” Soal mama teruja. “Lupa nak minta.” Saya menyesali kecuaian sendiri. “Entah apa nasib mak cik itu.” Rungut mama. Mama makruf kisah Ustaznya yang dikhabarkan nikah paksa. Cuma tidak pasti kenapa. Tak sangka saya pula yang dipertemukan dengan gadis malang 50 tahun dulu. Mama sempat kecindan, ‘buatlah kisah mereka macam laras bahasa HAMKA yang romantik. Hentikan cerpen angah yang buat ma pening mencicipnya….” Alahai…
Soalan mama yang paling best. Bila lagi? Jangan terlalu memilih. Pilih-pilih tebu jangan sampai terpilih tebrau. Aduhai mama…sempena azam tahun baru 3M masih saya buru:-
1- M.A
2- Merce
3- Mr. Right