Ahad, September 24, 2006

Hadiah Ramadhan

Ramadan Karim! Sempena bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, rahmat, keampunan dan perlepasan dari neraka saya menerima artikel sumbangan dari seorang teman yang layak saya labelkan dia ulama muda. Teruja ingin berkongsi dengan pembaca budiman. Moga beroleh manfaat dan ilmu. Juga penghargaan untuk penulis moga beroleh ganjaran dan nilaian di sisi Allah. Hanya ini cara saya memanjangkan 'risalah percuma' beliau.

RISALAH PERCUMA. AMBILLAH BACA. SEBARKAN!

(Usahlah salah sangka berhubung artikel ini. Ia sama sekali tidak bertujuan mencabar mana-mana pihak. Tujuannya adalah satu; iaitu "SALING NASIHAT-MENASIHATI SUPAYA MENTAATI KEBENARAN" (surah al-'Ashr: 3) seterusnya memperingatkan yang lupa mahupun yang tidak tahu lagi.)

Madad, Madad… Ya Allah!

Oleh MOHD. ARIFF FADHILLAH BIN AMIRUDDIN
(Alamat e-mel:
mafba_ariff@yahoo.com)

Sahabat-sahabatku seaqidah,

Apakah maksud 'madad…'?

MENURUT 'Kamus Idris al-Marbawiy' (cetakan Darul Nu'man) pada muka surat ke 246, ia bermaksud: "mohon dipanjangkan umur, dan pertolongan atau diberikan keteguhan". Dengan kata lain, ia bererti meminta pertolongan daripada suatu pihak yang berkuasa menunaikan hajat tersebut. Cuma istilah atau sebutannya sahaja yang diubah, namun maksudnya tetap sama.

Justeru itu, tidak pernahkah terlintas di benak fikiran kita selaku yang mendakwa seorang Muslim yang sebenar, bahawa kata-kata yang tiba-tiba masyhur di bumi Mesir ini seumpama "madad, madad… ya Syaikhii!", "madad, madad… ya Ja'fariy!", dan "madad, madad… ya Rasuulallah!", MENYALAHI aqidah yang tulen?

Apakah patut kita membelakangi Allah dengan meminta tolong ataupun diberikan syafa'at, diselamatkan dari kesusahan dan sebagainya kepada manusia atau yang selain-Nya? Tambahan lagi, bukankah mereka semua itu telah mati dan tidak mampu memberikan semua itu? Fikirlah sejenak sahabatku! Milik Allah jualah semua itu. Buktinya: "Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manafaat dan tidak (pula) memberi mudarat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (demikian) itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim." (Surah Yunus: 106)

{{وَلاَ تَدْعُ مِن دُونِ اللهِ مَا لاَ يَنْفَعُكَ وَلاَ يَضُرُّكَ فَإِنْ فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِنَ الظَّالِمِينَ.}}

Contoh

Sebagai contoh, menerusi ayat Kursi yang sentiasa kita baca:

{{... مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ ...}}

yang bererti: "Siapakah yang dapat memberi syafa'at di sisi Allah tanpa izin-Nya?" (Surah al-Baqorah: 255). Kata As-Syaikh Muotofa Al-Biosraatiy: "Yang dimaksudkan dengan soalan ("siapakah") di sini, adalah dalam bentuk penafian bagi semua benda pada permulaannya. Lalu, disusuli dengan pengecualian atau bukti penetapan selepasnya; tatkala Dia berfirman: ("tanpa izin-Nya") sahaja.

Ini bermaksud dalam soal syafa'at sekalipun, ia tidak mampu diberikan oleh Nabi sollollahu 'alaihi wa sallam secara langsung dan sesuka hatinya, kecuali setelah mendapat keizinan daripada-Nya terlebih dahulu. Walaupun Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam menduduki taraf tertinggi di sisi Allah pada hari kiamat kelak, Baginda sendiri tidak mampu untuk memberikan syafa'atnya melainkan setelah mendapat izin perkenan daripada Allah, dek kerana sempurnanya tampuk pemerintahan-Nya Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi dan kehebatan-Nya mengatasi sekalian kuasa yang didakwa manusia."

Oleh itu, mengapa lagi ada segelintir yang melampaui batasan dengan meminta syafa'at kepada Baginda dan seumpamanya? Pernahkah Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam mahupun para sahabatnya rodiyallahu ‘anhum mencontohkan amalan sebegini? Jawapannya, tidak.

Sedarlah! Saudara-saudari sekalian…

Kita tidak meminta pertolongan kepada mereka yang telah mati dan tidak berada di sisi kita. Demikianlah, TIDAK WAJAR SAMA SEKALI kita menyebut "madad, madad… ya Badawiy!", "madad, madad… ya Husain!", "madad, madad… Ya Jailaniy!" dan seumpamanya. Bahkan, kita hanya menagih simpati kepada Allah Yang Maha Mendengar. Sekalipun kita memperakui dan secara pastinya sering melakukan dosa; kecil mahupun besar. Al-Hayyu; Yang Sentiasa Hidup buat selama-lamanya, telah berfirman yang bermaksud: "Dan berhala-berhala yang mereka seru selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apa pun. Sedang berhala-berhala itu (sendiri) dibuat orang. (Berhala-berhala itu) benda mati yang tidak hidup. Dan berhala-berhala itu tidak mengetahui bilakah penyembah-penyembahnya akan dibangkitkan." (Surah an-Nahl: 20-21).

{{وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللهِ لاَ يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ. أَمْوَاتٌ غَيْرُ أَحْيَاءٍ وَمَا يَشْعُرُونَ أَياَّنَ يُبْعَثُونَ.}}

Senario terkini, kuburan para wali diagung-agungkan. Dihiasi dengan cukup indah. Tujuan perziarahan kubur – yang pada asalnya dan disyara'kan supaya memperingatkan diri seseorang akan kematian – kian diselewengkan. Tidak ketinggalan ada yang menampal gambar-gambar kubur tersebut dalam bilik bacaan, kononnya untuk mengambil berkat dan rasa lebih dekat dengan orang-orang soleh terdahulu. Sedar atau tidak, inilah dia berhala zaman moden. Tanpa langsung kita mengambil iktibar dari ayat di atas.

Berhatil-hatilah dengan amalan yang dikira bertawassul ini di kalangan sesetengah orang. Dibimbangi ia boleh membawa kepada syirik dan menyekutukan Allah. Ironinya, amalan ini bukanlah tawassul yang diharuskan oleh syara'. Malah, ia diharamkan oleh Allah subhaanahu wa ta'aala.

Menyeru atau bermohon kepada yang telah mati apatah lagi yang tidak berada di sisi kita termasuk dalam syirik akbar. Kenyataan terakhir ini dikeluarkan oleh As-Syaikh Muhammad bin Jamiil Ziinuo dalam bukunya Al-'Aqiidah Al-Islaamiyyah Mina l-Kitaab Wa s-Sunnah (m/s 12). Buktinya, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Maka janganlah kamu menyeru (menyembah) tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu termasuk di kalangan orang-orang yang diazab." (Surah asy-Syu'araa': 213).

{{فَلاَ تَدْعُ مَعَ اللهِ إِلَهًا آخَرَ فَتَكُونَ مِنَ الْمُعَذَّبِينَ.}}

Bahkan Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam sendiri turut melarang amalan sebegini melalui sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang mati sedangkan beliau menyeru selain daripada Allah (dengan apa jua) sekutu (yang lain), dia (pasti) masuk neraka." (Riwayat al-Bukhoriy).

{{مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَدْعُو مِن دُونِ اللهِ نِدًّا دَخَلَ النَّارَ.}}

Bagaimana Boleh Sampai Syirik?

Wahai sahabatku, bukanlah saya mudah-mudah mengkafirkan seseorang. Tidak sama sekali! Jangan cepat membuat telahan atau buruk sangka. Kebanyakkan di kalangan kita yang terlibat mahupun orang ramai, tidak tahu. Ataupun mereka cenderung meniru tabiat sesetengah pihak yang dianggap "syaikh" pada pandangan mereka. Kesimpulan mudahnya, mereka tersilap. Begitu jugalah kita semua, tidak terlepas dari perkara ini. Namun, sebaik-baik yang bersalah atau tersilap arah adalah yang segera bertaubat kepada Yang Suka Menerima taubat daripada hamba-Nya. Puncanya, semakin hari semakin jauh dari merujuk kepada panduan al-Qur'an dan as-Sunnah yang sohih sebagaimana yang difahami oleh para sahabat terdahulu dan mereka yang soleh yang mengikutnya.

Kembali semula kepada topik perbincangan kita berkaitan MADAD, tahukah kita ia merupakan doa? Sedangkan kita tahu bahawa "doa adalah ibadat"; sebagaimana yang terakam dalam hadith sohih riwayat at-Tirmiziy. Jadi sebagaimana solat tidak boleh ditujukan kepada Rasul mahupun wali, demikian tidak boleh berdoa kepada Rasul mahupun wali selain daripada Allah Yang Esa.

Ingat! Amalan ini cukup bahaya. Bimbang jika tidak disedari, kita terus berkeadaan begini sehingga ke mati. Walhal andai berlakulah sedemikian rupa, pasti tidak berguna langsung segala amalan kita yang lain selama hidup di muka bumi ini. Ini adalah kerana ia melibatkan penyekutuan terhadap Allah. "Dengan erti kata lain, ia memalingkan pengibadatan kepada selain Allah. Sama ada ia ditujukan kepada malaikat atau rasul atau wali, lebih-lebih lagi kepada batu-batan, pokok-pokok yang kononnya berkeramat, mahupun kuburan. Itu semua termasuk dalam ruang lingkup menyekutukan Allah, sekalipun dalam bentuk tawassul menurut perkiraan sesetengah pihak yang membenarkannya. Antara sekalian banyak amalan yang bercanggah dengan syara' adalah seperti berdoa kepada mayat, memohon bantuan dan meminta madad kepada yang orang yang tidak berada di sisinya."

Kalau susah mempercayai kata-kata saya, renungkanlah firman Allah; Tuhan kita semua yang tidak boleh lagi diingkari yang bermaksud: "Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain Allah yang tidak dapat memperkenankan (doa)nya sampai hari kiamat dan mereka lalai dari (memperhatikan) doa mereka? Dan apabila mereka dikumpulkan (pada hari kiamat) nescaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka dan mengingkari pemujaan-pemujaan mereka." (Surah al-Ahqaaf: 5-6)

{{وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِن دُونِ اللهِ مَن لاَ يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَن دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ.
وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ.}}

Madad Yang Disalahertikan

Justeru, menjawab kekeliruan yang mungkin timbul dalam Buletin An-Naba' Bil. 59 (keluaran Rejab 1427 / Ogos 2006) pada muka surat 13 (di bawah artikel "Dari Turath Masjid al-Azhar"), ia sebenarnya silap difahami dan perlu diperbetulkan pada beberapa perkara sebagaimana berikut:

1- Ayuh kita perhatikan dan menilai semula petikan ini: "Apabila kamu berjumpa dengan orang 'alim lalu kamu berkata kepadanya, "madad ya syaikh"...", ia boleh diterima apabila orang 'alim tersebut masih lagi hidup. Beralaskan sebab dia mampu lagi mendoakan buat kita. Dalilnya sebagaimana sabda Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam yang menggalakkan kita sesama muslim mendoakan kesejahteraan buat saudaranya walau di mana jua dia berada dan tidak bersama. "Tiadalah seorangpun muslim yang mendoakan (kebaikan) buat saudaranya semasa ketiadaannya, melainkan berkata malaikat: Dan buat kamu begitu juga." (Hadith riwayat Muslim dalam kitab Sohihnya, daripada Abi Dardaa' rodiyallahu 'anhu).

{{مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلاَّ قَالَ الْمَلَكُ: "وَلَكَ بِمِثْلٍ".}}

2- Boleh kita meminta tolong kepada mereka yang masih hidup dengan syarat pada perkara yang mampu dia lakukan. Merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: "… dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran (hukum Allah) …" (Surah al-Maa-idah: 2). Demikian juga berdasarkan hadith sohih berikut yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim yang bermaksud: "Dan (semestinya) Allah akan menolong seseorang hamba itu, selagi mana hamba tersebut menolong saudaranya."
{{... وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ...}} سُورَةُ الْمَائِدَةِ: 2.
{{وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ، مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ.}} رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

3- Namun petikan di atas tertolak – mengikut perkiraan syara'; bukannya saya yang memandai-mandai mengeluarkannya -, jika permintaan tersebut dibuat dalam mimpi atau kepada si fulan yang telah mati. Buktinya, kerana Allah Yang Maha Mendengar lagi Berkuasa tidak memerlukan kepada perantaraan. Bahkan Dia sendiri mencela dan mengkafirkan mereka yang berbuat demikian sebagaimana yang pernah berlaku pada kaum musyrikin di zaman Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam. "… Dan orang-orang yang mengambil pelindung (atau perantara) selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih pendapat mengenainya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuk jalan bagi orang-orang yang (bersikap) pendusta dan sangat ingkar." (Surah az-Zumar: 3)

{{... وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلاَّ لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللهِ زُلْفَى إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِيمَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللهَ لاَ يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ.}}

4- Tahukah anda? Bahawa kaum musyrikin tadi bukannya menyembah batu berhala secara zatnya. Akan tetapi, patung-patung berhala tersebut adalah merupakan ukiran wajah orang-orang soleh sewaktu zaman nenek-moyang mereka dahulu kala. Apakah dalilnya? Rujuk surah Nuh 71, ayat 23. Kemudian renungkan tafsiran Ibnu Abbas berikut yang boleh didapati dalam Sohih al-Bukhoriy yang bermaksud: "Ini (Wadd, Suwaa', Yaghuts, Ya'uuq dan Nasr) adalah nama-nama orang soleh dari kalangan kaum Nabi Nuh 'alaihi s-salaam. Tatkala mereka semua wafat, syaitan mencetuskan idea kepada kaum mereka supaya mendirikan patung-patung (berukirkan wajah mereka yang telah wafat tadi) dalam majlis-majlis yang sebelum ini mereka turut hadir bersama. Demikian juga hendaklah mereka menamakannya sebagaimana nama mereka yang asal. Lantas, mereka merealisasikan idea tersebut. Namun tidak pula sampai mereka menyembahnya. Sehinggalah mereka itu meninggal dunia dan ilmu semakin dilupakan, akhirnya patung-patung tadi disembah (oleh generasi selepas mereka)."

5- Adapun kenyataan sebegini: "Jika kamu berkata "madad ya Rasulullah" bererti "minta ampunlah kepada Allah untukku" sehingga "… ia satu perkara yang harus", maka ia sama sekali tertolak tanpa perlu kepada sebarang huraian lagi. Kenapa? Rujuk surah Jinn: 21.
Nabi Muhammad sollollahu 'alaihi wa sallam sendiri memperakui, dia tidak mampu lagi berdoa setelah mati. Bahkan orang yang masih hidup pula mendoakan buatnya. Renungkan hadith ini: "Apabila mati seseorang insan itu, akan terputuslah (segala amalannya) kecuali dari tiga (perkara): sedekah jariah (yakni: yang sentiasa berterusan manafaatnya kepada orang ramai), atau ilmu yang dimanafaatkan dengannya (oleh bekas pelajar-pelajarnya), atau anak soleh yang seringkali mendoakan buatnya." (Riwayat Muslim).

Tambahan lagi, para sahabat sendiri rodiyallahu 'anhum tidak pernah melakukan sebagaimana perbuatan di atas. Buktinya sebagaimana kisah kemarau panjang yang berlaku di zaman Umar. Tidak pula dia meminta kepada Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam yang telah wafat. Sebaliknya, dia meminta kepada Al-Abbaas; bapa saudara Baginda supaya berdoa agar Allah mengembalikan keadaan seperti sediakala.

6- Setiap kenyataan perlu diukur dengan syara'. Usah kita fanatik dengan tok guru tertentu. Walau dari siapa sahaja yang tinggi martabatnya di sisi orang ramai. Bukan beliau yang kita ikuti, akan tetapi dalil yang dikemukakannya berteraskan al-Qur'an dan hadith yang sohih sahaja kita turuti. "Tiada ketaatan lagi buat makhluk pada (urusan yang membawa) kemaksiatan kepada pencipta" (Hadith yang dinilai Sohih; riwayat Ahmad).
{{لاَ طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ.}}

Oleh kerana sesiapa jua hatta As-Syaikh Soleh Ja'fariy – semoga Allah merahmatinya – dan diri penulis yang kerdil ini bukannya maksum, kecuali apa yang benar-benar pasti datangnya daripada Baginda sollollahu 'alaihi wa sallam dengan pemahaman yang tulen; bebas daripada sebarang unsur penyelewengan.

Pengajaran dari ayat 9; surah ke-8

Allah berfirman yang maksudnya: "(Ingatlah!) Ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut." (Surah al-Anfaal:
9). {{إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلاَئِكَةِ مُرْدِفِينَ.}}
Dalam ayat ini Yang Maha Menolong menyebut {{أَنِّي مُمِدُّكُمْ}}, yang bererti bahawa "Akulah yang akan mendatangkan MADAD; berupa bala bantuan kepada kamu…". Tidakkah di sini, kita sama-sama fahami bahawa Allah yang sepatutnya diseru untuk menganugerahkan MADAD, bukannya Syaikhii (tok guruku), Ja'fariy, Badawiy mahupun Rasulullah sendiri. Kalau baginda sollollahu 'alaihi wa sallam masih hidup, dia semestinya menjadi orang pertama melarang seruan sebegini, sekalipun menggunakan namanya.

Harus diketahui bersama, turunnya ayat ini tatkala Nabi sollollahu 'alaihi wa sallam melihat tentera musyrikin yang mencecah 1000 orang, sedangkan tenteranya sekadar 300 dan beberapa belas orang lebih. Lalu baginda masuk ke tempat duduk panglima perang mengadu kepada Tuhannya Yang Maha Perkasa sambil mengangkat kedua-dua tangannya menghadap ke arah kiblat seraya berkata; yang bermaksud: "Ya Allah! Tunaikanlah buatku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Sekiranya Engkau hancurkan kelompok (yang kecil ini) dari kalangan penganut Islam (sekarang), Kamu (mungkin) tidak akan disembah lagi di atas muka bumi ini."

Berterusanlah Baginda memohon madad; berupa pengukuhan dari sudut bilangan tenteranya, sehingga terjatuh selendang dari kedua-dua bahunya. Kemudian, datang Abu Bakr mengangkat dan meletakkan kembali selendang tersebut di tempat asalnya, sambil turut sama menyertai Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam di belakangnya. Melihat akan kesungguhan sahabat karibnya itu bermunajat kepada Ilahi, dia berkata: "Wahai Nabi Allah! Memadailah rayuan kamu itu kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia akan menunaikan buatmu apa yang telah Dia janjikan kepadamu." Dari situlah turunnya ayat 9; surah ke-8 ini.

Oleh itu, tidak cukupkah itu sebagai pengajaran buat kita yang menyerah diri kepada Allah dan mengaku beriman kepada-Nya, bahawa ucapan "madad, madad… ya Ja'fariy!", "madad, madad.. ya Rasuulallah!" dan seumpamanya adalah SALAH dan sama sekali bertentangan dengan aqidah yang sohih? Contohi Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam dalam beribadat; khasnya. Jangan mereka-reka dalam urusan agama. Kelak, Baginda tidak mengaku sebagai umatnya.

Inilah Apa Yang Diajar Rasulullah

1- Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam mengajarkan kita supaya menyebut doa berikut pada setiap pagi dan petang; sebagaimana ayahanda Fatimah ini berpesan kepada anak perempuannya itu suatu ketika dahulu.

Daripada Anas – semoga Allah meredhainya – bahawa Nabi – semoga Allah melimpahkan selawat (yakni: kesejahteraan) ke atasnya dan menyelamatkannya – telah berkata kepada Fatimah – begitu juga, moga Allah meredhainya -; yang bermaksud: "Apakah lagi yang menghalang kamu dari mendengar apa yang bakal kunasihatkan kepadamu supaya dipraktikkan: iaitu hendaklah kamu menyebut tatkala berada di waktu pagi (yakni: selepas Subuh hingga sebelum terbit matahari) dan semasa di waktu petang (yakni: selepas solat Asar hingga Maghrib):

{{يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ أَبَدًا}}

Bererti: "Wahai Yang Tetap Hidup lagi Maha Kekal Mentadbir makhluk buat selama-lamanya, dengan rahmat-Mu (jua belas-kasihanmu) aku memohon pertolongan agar Engkau perelokkan buatku segala perihalku. Dan janganlah Engkau biarkan daku kepada nafsuku walaupun sekelip mata."

Hadith di atas riwayat at-Tirmiziy, telah dinilai hasan oleh Ibnu Hajar dan al-Albaaniy. Untuk penjelasan lebih lanjut, sila rujuk kitab Azkaar Wa Aadaabu s-Sobaah Wa l-Masaa' oleh As-Syaikh Muhammad Ahmad Isma'il al-Muqaddim (salah seorang ulama' di Iskandariah yang masih lagi hidup sehingga kini; 2006).

2- Tawassul dengan doa orang yang soleh yang masih hidup, bukannya dengan diri orang soleh terbabit dengan menggunakan kedudukannya yang mulia di sisi Allah. Misalnya; seseorang mengatakan kepada seorang yang soleh dengan katanya "berdoalah untukku" atau "jangan lupa berdoa untukku wahai saudaraku" atau "kenang daku dalam doamu" dan sebagainya.
Buktinya sebagaimana terakam dalam surah Muhammad ayat 19 dan sebagaimana terdapat dalam sebuah hadith sohih riwayat at-Tirmiziy; bahawa seorang lelaki yang mengalami sakit pada matanya datang berjumpa Nabi sollollahu 'alaihi wa sallam, lalu berkata: "tolong berdoa kepada Allah agar menyembuhkanku …".
{{...وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ...}} سُورَةُ مُحَمَّدٍ: 19.
{{أَنَّ رَجُلاً ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: "اُدْعُ اللهَ أَنْ يُعَافِيَنِي ...}} رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ.

3- Begitu juga dibolehkan kita menggunakan perantaraan (tawassul) dengan kecintaan kita sendiri terhadap Allah, sayangnya kita kepada Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam dan kepada para wali yang soleh. Ini adalah kerana perasaan tersebut dikira amalan soleh di sisi Allah Yang Maha Pemurah.

Harus diingat! Perantaraan yang dibenarkan syara' adalah yang melibatkan diri kita sendiri. Sebagaimana kisah seorang sahabat Nabi yang berhasrat untuk berada di samping Baginda di syurga nanti. Lantas Rasulullah sollollahu 'alaihi wa sallam menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Bantulah diriku ke atas dirimu sendiri (terlebih dahulu) dengan memperbanyakkan sujud." (Riwayat Muslim)

{{أَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ}}

Hadith sohih di atas menjelaskan kepada kita bahawa Baginda boleh memberikan syafaatnya dengan izin Allah kepada sesiapa sahaja di kalangan umatnya. Tapi dengan syarat, hendaklah mereka terlebih dahulu menolong diri mereka sendiri sepanjang hayat di dunia dengan berbuat amalan secara penuh ikhlas dan bertepatan dengan apa yang diajarkan Baginda. Antaranya dengan memperbanyakkan solat-solat sunat setelah mana ditunaikan yang wajib.

Jumaat, September 15, 2006

Kembali Merindui...

Selamat Hari Lahir Abah!

Di sumur itu
Mengalir kasih sayang
Seroja dan melur berguguran
Mengharumkan sungai bahagia

Betapa aku anak beruntung
Punya pelindung yang pengasih
Punya pencari rezki yang gigih
Seorang abah berjiwa murni

Tiada kata seindah puisi
Untukku lakarkan buatmu abah
Demi menghargai jutaan pengorbanan
Seisi alam bukan bandingan

Selamat hari lahir abah
Moga Allah menyayangimu
Moga selalu dipayungi rahmat-Nya
Moga usiamu beroleh keberkatan-Nya

Andai berakhir alam ini
kumerayu pada Ar-Rahim
temukan aku dengan asalanku
Dari seorang lelaki bernama abah
Dari seorang wanita bernama mama
di Raudatul Firdaus

(Ingatan berpanjangan buat ayahanda tercinta, Tuan Haji Mohd Azaman b. Mohd Zain. Sayang selamanya!)

Peringatan buat diri yang kadang terleka...

Katakanlah wahai Muhammad, "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan-perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana seseungguhnya Alah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia-lah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Surah az-Zumar, ayat 53.