Pagi-pagi lagi saya menghubungi bunda. Seperti biasa, leternya berjela dan pesannya berganda. Kata bunda, malam semalam Ummu Wafa' menghubunginya. Sedang enak bertukar cerita, terngiang di corong telefon suara Wafa' menyanyi. Sekilas bunda teringat zaman kecil saya yang nakal persis Wafa', juga penghibur yang abah gelar 'Superstar'! Saya suka menyanyi, membaca buku, menyayangi adik kecil dan ralit dengan sehelai kain. Sehalai sapu tangan comel boleh membawa saya ke alam lain, alam saya tentunya! Saya mahu menitip baju raya untuk anak dara saya ini. Pakailah demi mak ngah. Mata saya bahagia melihat keletah anak kecil ini. Dia menyalin kenakalan saya dan Ummu Wafa'. Kami melihat zaman kecil kami dan kami dapati Wafa' turut berada di dalamnya.
Melalui ‘Taman Melankolik’, mengundang rasa hiba yang datang tiba-tiba. Saya sering meluangkan masa di atas bangku comel ketika perjalanan pulang ke rumah. Di atas bangku itu, saya akan menghubungi mama, Ummu Wafa’, teman rapat dan bermain dengan kucing-kucing comel. Bangku itu juga tempat saya menyeka lelah dan berfikir. Sejak cuti sekolah bermula, pandangan saya selalu diganggu pasangan remaja yang berdua-duaan dan menenggek di atas bangku comel saya. Oh, adik-adik…jangan meragut kesucian bangku saya. Bangku itu turut merasa melankolik di atas kebejatan moral kalian. Bangku itu sudah terkedang mengampu melankolik yang Faizah tinggalkan untuknya…
“Pengulangan dalam Mahabbah memerlukan konsentrasi ketika mengulitinya, maklum saja jika bilah-bilah usia telah menjadikan Mahabbah begitu. Barangkali saja akak hanya bertahan sehingga halaman 40 atau sekitar halaman 75 dan sesudah itu pasti saja terasa berat mendampingi karya sebesar Mahabbah.”
Dengan rasa kasih dan sayang kepada Pencipta yang memberi rasa dan cinta kepada Pengarang untuk menggarap karya sebesar Mahabbah membuatkan saya masih bertahan mendampingi Mahabbah sedari pulang dari pejabat sehingga saya terlena merangkul mahabbah di sisi sebelum dikejutkan teman sebilik seusai dilaung azan Maghrib. Setelah menyeluruhi naskhah ini sehingga laman ke-44 saya masih segar, masih teruja mengenal tokoh Endar yang punya Mahabbah agung kepada al-Khaliq. Ya, hidup adalah perjalanan. Umpama perjalanan air yang asalnya titis-titis hujan lalu berkumpul menujah lurah, bukitan, gunung-ganang sehingga terpokah lereng-lereng kental dan mengalur menjadi sebatang sungai sebelum diasinkan di laut segara. Analogi pengarang mengingatkan saya kepada syair Perahu, Hamzah Fansuri yang tinggi nilai estetika, apa lagi nilai tauhid yang agam dan keluhurannya.
Shahnon Ahmad istimewa sekali di mata saya. Selain kekuatan bahasa, perbendaharaan kata yang luas, beliau juga menulis dari pengalaman yang karib sekali dengan denai hidupnya sebagai hamba yang Mahabbah kepada makhluk dan Khaliqnya. Justeru, saya melihat Mahabbah dari sudut yang tepu nilai-nilai tauhid sehingga saya terhantar ke daerah Endar yang berfalsafah dengan alam sehingga terjalin unsur ketuhanan dan isinya secara realistik, seni dan misteris. Perihal sam’iyyat diulas sederhana, sebagai peringatan kepada penikmat Mahabbah. Saya teruja sekali dengan para pertama halaman 42, ‘Terhenti separa perjalanannya dengan su’ulkhatimah penuh kehinaan, bertakahkan saf-saf asfala safilin; bukan tamat dengan husnulkhatimah bertakahkan ahsanu taqwim.’
Aduhai, ‘penghabisan yang baik’ bukan sekadar dambaan makhluk yang meniti bilah-bilah senja, bahkan ia lebih tinggi nilainya jika dihadam sedari usia pucuk tatkala dikucup cahaya duha yang hangat; pasti perencanaan rapi ke arah husnulkhatimah jika Mahabbah diraih sedari usia menunas. Ketokohan Endar benar-benar menyentuh nubari manusia yang punya rasa manusiawi! Saya melihat seorang Shahnon di sebalik selubung Endar.
Laman 51-52 benar-benar memaknakan saya sakinah yang hakiki. Ia seperti penawar yang diturunkan dari langit, mengawetkan segumpal darah sehingga gumpalan itu hidup dan melatih armada tersendiri mendepani bala tentera mazmumah sama ada yang ghaib atau nyata. Alangkah, Mahabbah!
Saya yang masih meladeni Mahabbah sesekali menjeling ‘Kembara Seorang Hamba’ yang mengoda ghairah akal saya setiap kali saya mengisar duduk setelah mengampu Mahabbah beberapa ketika. Saya meriba Mahabbah dan membelek KSH bermula dari halaman belakang. Saya membaca Dedikasi; Khusus untuk memperingati bapaku, gemulah Haji Ahmad b. Haji Bakar yang meninggal dunia pada 14 November 1981. Juga khusus untuk memperingati ibuku, gemulah Hajah Kalthum bte Haji Mohd Saman yang meninggal dunia pada 22 Februari 1990. “Ya Allah, cucurilah cahaya-MU dan rahmat-Mu ke atas kedua gemulah ibu bapaku yang sedang menunggu hari perhitungan di alam barzakh dan seterusnya dalam perjalanan menuju ke alam keabadian.” Nah, doa ini saya temukan juga dalam naskhah Mahabbah. Saya temukan lagi sesuatu di dalam naskhah KSH-Tinta Penulis, …’Baru-baru ini, beliau tiba-tiba menghidap sejenis penyakit yang agak ganjil iaitu nama saintifiknya, Myasthenia Gravis. Ia merupakan sejenis penyakit antibodi yang menyerang segala otot dan tenaga di seluruh badan sehingga daya tahan dan daya rasa menjadi lemah longlai tidak bermaya hingga menyebabkan sukar untuk bercakap, sukar untuk menelan dan mengunyah, sukar untuk bernafas dan sukar untuk meludah.’ Masya-Allah, penyakit yang sama dideritai Endar, tokoh peneraju Mahabbah! Saya sebak, mahu menangis. Serasa simpati yang berbuah lebat empati. Saya rasa kuat untuk menyelami Mahabbah, kerana ia likat gagasan Tauhid, suara peribadi seorang sasterawan yang saya sanjung. Justeru, karyanya menjadi inspirasi sepanjang saya melalui dunia kepengarangan. Entah kenapa saya ingin menghubungi teman yang menetap di Kedah, mana tahu dengan bantuannya saya bisa menziarahi ikon sasterawan negara yang saya kagumi sedari zaman remaja.
Mahabbah selayaknya dinobat Pemenang Ketiga Sayembara Mengarang Sempena Perayaan JUBLI EMAS DBP sekalipun Mahabbah menawarkan lebih daripada Mahabbah!
Saya melangkah lambat-lambat, malas-malas sambil fikiran saya sudah berterabur dan tercicir sepanjang jalan. Saya terserempak dengan Blacky (kucing muda) yang sering menyapa saya setiap kali melewati taman permainan itu. Pagi Jumaat yang panas dan sedikit tanda curahan hujan yang masih berbaki malam tadi. Saya mengheret kaki. Kaki mahu berhenti, saya tidak endahkan kaki dan berjalan lagi. Sampai di depan pejabat, kaki enggan masuk. Saya meladeni kaki yang mahu mematung di hadapan pejabat beberapa minit. Mata saya memandang pintu pejabat, saya nampak rumah. Kaki masih merusuh dan enggan mendaki mata tangga. Saya hanya melayani kehendak kaki. Kenapa dengan saya hari ini? Kenapa kaki tiba-tiba merusuh? Kenapa kalbu memberontak? Saya masuk ke pejabat dengan mengkal hati. Saya duduk, menghadap lappy dan menyiapkan tugasan sebelum mula bercuti. Saya memahat status FB hari ini, ‘Faizah Azaman nak berhenti kerja!’