Jumaat, September 16, 2011

Sasterawan Tentera '11


Berbagi rasa bahagia dan optimis karya besar ini ditukangi dengan cermat oleh pengarang muda yang saya kenali sejak bergelar 'pelajar'. Moga saja beliau terus menenun kejayaan. Sekalipun menjadi pengarang 'ghuraba', redha Allah sentiasa dalam harapan dan doa. Saya teruja menulis semula!

Rabu, Februari 23, 2011

Islam Adalah Penyelesaian




Ikhwan Muslimin sudah cukup matang menerajui Mesir khususnya. Jundullah telah hadam Usul 20, turut diacu dengan sifat fardhu muslim yang ampuh, thaqafah dan akhlak yang mantap. Seluruh rakyat menanti PRU Mesir, revolusi Libya dan Bahrain. Percaya, bangsa arab punya karekter yang agam dan bersedia untuk memperkasa dustur al-Quran dan al-Hadis yang telah lama terpinggir. Teringat senario ketika menaiki train dari Ramsis ke Doqqi atau dari Abas el-Akkad ke Hayyu Sabiek, atau saja menaiki bas dari Hayyu Asyir ke Hayyu Thamin, betapa ramainya syabab yang menekuni al-Furqan tanpa mempedulikan manusia yang menyendatkan kenderaan awam itu, juga wanita-wanita gigih yang bermurah hati mencari mad'uwah dengan bertaaruf dan memberi hadiah, lelaki-lelaki yang konsisten menghadiri halaqah dan giat memberikan alternatif kepada remaja setelah stesyen TV parabola menghidangkan 'daging segar' berupa tubuh wanita untuk dijamah oleh mata-mata yang bakal menerajui siasah daulah. Ikhwan Muslimin terus mara dengan visi 'Islam adalah Penyelamat' nekad membawa manusia sejagat ke gapura duniawi dan ukhrawi yang sejahtera. Berbahagialah wahai tentera Allah, kemenangan itu barangkali ditangguhkan untuk kemanisan di Jannah nanti!

Sabtu, Januari 22, 2011

Fobia~Mimpi~Ilusi~Hibernasi

Usai subuh biasanya saya akan menghadap tugasan dan menyiapkan kerja-kerja penyelidikan. Pagi ini terasa lelah semalam masih berbaki, lalu saya memilih untuk berehat dan tidur pulas. Setelah puas mengiring saya menelentang. Saat itu terasa seperti mata sudah terbuka. Ya, saya nampak langsir biru berayun disapa kipas siling berkelajuan 3. Saya terdengar suara wanita yang menyebut-nyebut tentang bantal yang saya letak di atas kaki. Terasa seperti bantal itu ditepuk-tepuk keras dan memberat. Suaranya jelas, tetapi di ruang mata hanya kelihatan langsir biru itu. Dalam cepu fikiran, hairan juga bagaimana suara wanita renta itu begitu jelas seperti di alam jaga. Kemudian saya tidak dapat mengerakkan kaki dan terasa mulut seperti disumbat pepejal. Allah! Saya cuba mengingatkan baris-baris ayatul kursi...terasa 'ditindih'! Ya Rabb, setelah dikunci kaki, mulut saya pula disumbat...lemas dan terkedang. Allah, saya mesti berzikir keras dan menggerakkan anggota yang termampu...hanya itu 'kunci' yang boleh membuka pasungan syaitan.

Saya benar-benar bergelut, berjuang untuk hidup. Mulut saya masih disumbat pepejal. Saya sudah kelu. Allah, pinjamkan kekuatan! Hati saya merayu-rayu mohon belas Tuhan. Dalam payah dan lemas itu, Allah mengirimkan tenaga di jemari kaki dan saya berjaya menggerakkannya. Lalu, saya terasa mulut saya sudah kosong...pepejal yang disumbat telah hilang. Telinga yang berdegung seperti dipenuhi air sudah kedengaran jelas. Saya membuka mata dan melihat langsir biru yang masih terbuai-buai sama seperti saat saya berilusi tadi. Bingkas bangkit mencari Athirah. Semacam cemas saya mengadu..."Athirah, aku ditindih!"

Setelah selesai khidmat diri dan bersuci, saya mendirikan solat sunat, membaca al-Quran dan 'memagar' sekitar kediaman. Ya Allah, 'gangguan' ini agak berbekas dan saya diserang fobia. Ya Rabb, pelihara saya dari gangguan manusia yang zalim, jin, syaitan dan makhluk yang sekutu dengannya! 

Rabu, Januari 19, 2011

Mencari Peluang...



Saya akan ke Perth. Tak pasti sama ada kunjungan ini menawarkan ilham dan momentum dalam diri. Saya mahu menulis dan menjadikannya kerjaya. Terfikir, suatu saat saya harus tinggalkan segalanya dan mengubah landskap hidup. Sekarang saya adalah perahu, yang perlu meredah segara. Saya perlu berani sekalipun sedar, badai hanya bergelora di permukaan, tidak di dasar. Rasanya, melewati usia 30-an mengharuskan saya lebih pro-aktif dalam tindakan dan masa depan. Ya Rabb, pinjamkan saya kekuatan itu!

Rabu, Disember 29, 2010

Halalan Toyyiban; Konsep Penyediaan Makanan yang Diabaikan

Memetik surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud; Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.

Halal adalah satu kata nama bahasa Arab di mana kata kerjanya ialah halla, yahillu, hillan yang membawa erti membebaskan, melepaskan, memecahkan, membubarkan dan membolehkan. Apabila ia digunakan di dalam bidang perundangan Islami ia membawa maksud;  pertamanya segala sesuatu yang menyebabkan seseorang itu tidak dihukum jika menggunakannya dan keduanya sesuatu yang boleh dikerjakan menurut syarak.

Al-Jurjani dalam Kitab al-Ta’rifat menjelaskan bahawa pengertian halal dengan maksud pertama merujuk kepada keharusan menggunakan benda-benda atau apa-apa  yang diperlukan untuk memenuhi keperluan jasmani seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan. Manakala pengertian halal dengan maksud yang kedua adalah bersangkut paut dengan keharusan memanfaatkan, memakan, meminum dan mengerjakan sesuatu yang kesemuanya ditentukan berdasarkan nas.

Di dalam al-Quran, Allah s.w.t menggunakan istilah halal dalam pelbagai keadaan ayat. Antara penggunaan tersebut ada yang menyentuh sudut muamalat, hal kekeluargaan dan perkahwinan, makanan dan rezeki dan seumpamanya.

Apa yang lebih menarik tentang konsep makanan dan rezeki  halal yang disebut di dalam al-Quran ialah kata sifat “toyyib” yang mengekorinya. Toyyib (atau toyyibahtoyyibatatau tuuba sebagai jamak) dari segi makna ialah sesuatu yang baik atau elok atau yang berlawanan dengan yang buruk. Jadi apabila disebut 'halalan toyyiban' ia memberi maksud sesuatu yang halal yang bersifat baik atau elok.

Secara mudah, arahan Allah s.w.t supaya kita makan bukan terhenti setakat memakan makanan yang halal semata-mata, bahkan ia melangkaui ke satu tahap yang lebih daripada itu. Justeru kita disuruh memakan makanan yang halal yang bersifat elok atau tinggi mutunya. Begitu juga dengan sumber rezeki yang kita usahakan bagi mendapatkan makanan halal. Ia sepatutnya terhasil daripada usaha yang halal lagi berkualiti. Penekanan terhadap unsur mutu usaha ini penting kerana rezeki yang diperolehi tadi tentunya lebih baik dan lebih diberkati oleh Allah s.w.t. berbanding rezeki yang dijana daripada kerja atau usaha yang bersifat ala kadar. Tambahan pula kita akan menggunakan rezeki tadi untuk memenuhi keperluan harian diri dan keluarga. 


Keadaan ini juga terpakai untuk konsep 'Halal' dan 'Halalan Toyyiban' di mana ia juga merupakan satu konsep yang perlu dipatuhi oleh umat Islam secara menyeluruh. Dari pandangan hidup agama Islam, konsep ini boleh mendatangkan pelbagai kesan positif untuk semua aspek kehidupan manusia. Ini tidak terkecuali sektor ekonomi di mana kesan yang paling ketara dapat dilihat menerusi perkembangan pesat dalam industri makanan halal di serata dunia.

Tuntutan supaya rezeki yang diperolehi itu adalah rezeki yang halal ialah untuk memastikan keberkatan diperolehi dalam kehidupan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab setiap orang dan masyarakat Muslim untuk memastikan tuntutan ini dipenuhi. Proses penyediaan makanan dan minuman halal yang bermula daripada penyediaan bahan mentah hinggalah ia terhidang di atas meja sepatutnya dilakukan oleh orang Islam itu sendiri.

Tanggungjawab ini tidak sepatutnya diletak dibahu penganut agama lain kerana mereka sudah tentu tidak mampu memahami kepentingan konsep halalan toyyiban secara sempurna. Jika mereka memahaminya sekalipun, dorongan mereka hanyalah kerana daya keuntungan yang bersifat keduniaan yang ada pada konsep tersebut yang diraih menerusi saiz pasaran dan permintaan daripada pengguna  Islam di seluruh dunia.
Fakta inilah juga yang menjelaskan kenapa pengeluar-pengeluar bukan Muslim di negara kita menguasai sebahagian besar pasaran makanan halal negara. Ini adalah suatu paradoks kerana mengikut unjuran Unit Perancang Ekonomi, jumlah penduduk Malaysia pada 2008 (termasuk bukan warganegara) berjumlah 27.9 juta orang dengan 13.66 juta adalah penduduk Melayu. Apa yang pelik ialah hanya lebih kurang 15% sahaja pasaran makanan halal dikuasai oleh pengusaha Muslim.
Justeru, penguasaan pasaran produk makanan halal yang dipelopori oleh golongan bukan Islam telah melenyapkan konsep 'toyyiba'. Konsep toyyiba bukan terhenti sekadar bahan makanan yang bermutu, tetapi etika penyediaan dan cara memasak memainkan peranan penting bagi mencapai konsep toyyiba. Sebagai contoh, makanan atau bahan tersebut hendaklah dibersihkan dengan air mutlak dan diiringi selawat atau basmalah, bagi pekerja wanita yang didatangi haid hendaklah mengenakan sarung tangan ketika menyediakan makanan tersebut kecuali jika menyediakan makanan untuk keluarganya. Sudah tentu, etika toyyiba tidak akan dikuatkuasakan oleh pengusaha yang tidak beragama Islam. 


Proses penyediaan makanan 'halalan toyyiban' juga mempengaruhi penikmat hidangan tersebut, lantaran makanan akan diurai menjadi darah dan daging. Sedarkah kita, mengapa sikap dan peri laku anak-anak sekarang sukar dikawal dan membimbangkan. Kebejatan moral juga dipengaruhi oleh jenis makanan yang diambil. Lantaran itu, etika 'toyyiban' perlu diaplikasikan dalam penyedian makanan harian. Apa lagi ketika memasak dibacakan zikir-zikir dan mendoakan agar makanan tersebut memberi zat dan kebaikan kepada tubuh untuk beribadah kepada Allah, menghadiri majlis ilmu dan bekerja mencari rezeki yang halal.