Jumaat, Oktober 22, 2010

Apabila Kita Beroleh Gelaran Mulia (Ibu atau Bapa)


Selesai membayar deposit rumah dan menandatangani perjanjian sewa, saya sempat berbual-bual santai dengan tuan rumah kami yang sangat bertimbang rasa dan memudahkan banyak urusan saya. Panggilan dari abah masuk, selesai menjawab salam, abah pun mula berceloteh. "Angah, cepatlah balik, Nabilah tak boleh harap. Cuci pinggan pun malas....bla...bla...bla. Janji saya, "Angah sedang berurusan dengan tuan rumah. Esok sudah boleh mula mencuci rumah. Paling cepat angah balik Rabu depan, atau saja Jumaat pagi." Sedang berbual-bual talian terputus. Barangkali saja bateri telefon bimbit abah lemah. 

Saya tersenyum sendiri. Menyebak memori ketika saya kecil. Kami tinggal berdekatan rumah nenek sebelah bunda. Sejak kecil kami diajar mencintai orang tua. Hanya adik-beradik saya yang menyentuh arwah aki dan wan. Dari mengurut, memotongkan kuku, memandikan dan menyikatkan rambut mereka. Sekali-sekala kami datang membersih dan mengurus rumah wan. Wan suka sekali menikmati masakan saya. Ia membuatkan saya terharu, kerana wan sangat cerewat dan tidak suka masakan orang! Seperti biasa, jika anak-anak wan pulang dari KL biasanya wan akan menceritakan kenakalan kami, mengomel bunda yang selalu sibuk dengan anak-anak yang masih kecil dan tidak sempat ke rumahnya. Kami dengar segala aduan yang kadang-kala diceritakan di depan hidung kami. Aneh, kami tidak pula berkecil hati. Rutin ke rumah wan kami lalui seperti biasa. Berkhidmat untuk wan dan aki kami teruskan tanpa rasa sebal di hati.

Sekarang, abah dan bunda pula begitu. Jika saya pulang, macam-macam perihal yang diadukan. Apabila saya berlama-lama di rumah ada pula yang tidak kena. Andai saya berjauhan, segala kebaikan saya, abah dan bunda kenang dan perikan kepada adik-adik. Bagitulah juga situasi yang dialami oleh adik-beradik saya yang merantau. Kadang-kala, anak-anak wajib menjadi pendengar yang baik walaupun sering dikritik. Namun, sayang dan kasih ibu bapa kita masih telus menilai kebajikan yang kita laburkan kepada mereka. Aduhai, siapalah saya tanpa abah dan bunda?!


Ahad, Oktober 03, 2010

Tiga Purnama; Mahu Menyeka Lelah...


Kediaman idaman. Moga ia menjadi syurga dunia yang menawarkan kebahagian seisi rumah. Kata pakar motivasi, jika kita inginkan sesuatu, lihatlah gambar atau figuranya. Ia akan menjadi inspirasi dan otak akan mencari jalan untuk memilikinya! Menakjubkan! Saya ingin bercuti. Kembara ruhi yang mengatasi 'luas'  dunia. Juga mahu menyeka lelah di laman 'rumah comel' saya!

Ahad, September 19, 2010

Lebaran Paling Bererti

Aidilfitri; 1 Syawal 1431H

Keluarga kami besar. Jarang dapat berkumpul ramai-ramai. Biasanya, jika ada yang pulang dari jauh atau luar negara, bunda akan panggil anak-anaknya pulang dan berhimpun. Takbir malam raya lebih meriah dengan penyertaan si kecil Wafa'; Wafa', anakanda kesayangan kami yang diputerikan pada 2 Syawal 1430H dan menantu perempuan abah dan bunda; Izah yang ramah dan baik hati. Saya dan adik-adik perempuan saban tahun menjadi 'orang dapur' sentiasa disibukkan dengan persiapan menu juadah untuk tetamu dari awal Syawal hingga menjelang raya ke lapan. Maaf kepada teman-teman jika tidak dijawab panggilan kalian, juga esemes ucapan Aidilfitri yang lewat dibalas dan dihantar. Moga saja lebaran ini mengeratkan dan paling bererti! Eid Mubarak, Kullu 'Am Wa Entum Bikher.

Isnin, September 06, 2010

Ucapan Eid Mubarak

(Gambar: Aidilfitri 1430H)


Salam Aidilfitri daripada Tn. Hj. Mohd Azaman b. Mohd Zain, Hjh. Faridah bt Hj. Hitam, Ema Azaman (tiada dalam gambar), Faizah Azaman, Azfar Azaman, Fadzilah Azaman, Najihah Azaman, Ibrahem Azaman dan Nabilah Azaman. Maaf lahir dan batin. 

Jumaat, Ogos 13, 2010

Menyingkap Bahagia Ramadan di Daerah Cinta!


Dalam payah saya cuba membereskan tanggungjawab, dalam sukar saya lalui segala onak dan hambatan. Dan, saya sering terkedang melangsaikan 'hutang lapuk'. Adakala saya kelelahan lantas tertidur kepenatan. Ia saat-saat yang menguji. Teman-teman yang sudi menerima 'kunjungan penyelidikan', saya ucapakan jazakillahu khairan jaza'. Dalam siri musafir pendek sebagai 'tetamu' saya nikmati seadanya kondisi itu. Daerah ilmu yang saya lawati terasa dekat sekali dengan diri, bahkan sudah dinobat daerah kedua dan ketiga saya. 

Paling istimewa kunjungan awal Ramadan yang mengujakan di IIUM, sehingga saya 'ceroi' dan liat meninggalkan daerah ini. Saya pasti akan rindukan Kutubkhanah Darul Hikmah, Resource Center, Masjid IIUM, Qari yang mengalunkan ayat suci dan menyihir seluruh indera saya, Prof. Dr. Abdul Razzak as-Sa'di yang halus tuturnya, Imam Jumaat dan Solat Sunat Tarawih yang membuatkan letah-letai saya terlerai tatkala menjadi makmum kalian! Saya menjumpai 'biah solehah' yang pernah saya tinggalkan di Mesir dahulu. Ia seperti rindu yang disambut.

Tazkirah pertengahan tarawih paling menyentuh saya kira, saudara kami menghubungkan TAQWA dengan Ramadan. Dia menegaskan kesukaran mujahadah pemuda dan pemudi yang berjauhan dari perhatian keluarga. Ketaqwaan harus segera dipelihara, bukan hanya gemar menikmati 'makanan segera'. Fitnah sebagai wanita dan lelaki yang belum bernikah harus bersegera mengelaknya. Ramadan, bulan melunakkan hati, raga dan mandiri mukminin. Moga saja saya bisa lalui saat ini dengan kuat. Menyudahkan segala yang tergendala. Mohon doa dan restu semua.  IIUM sudah menjadi sebahagian daerah cinta saya! Ramadan kareem!